"Tunang saya masih selamat. Tolong hentikan yang bukan-bukan" - Semasa | mStar

"Tunang saya masih selamat. Tolong hentikan yang bukan-bukan"

PETALING JAYA: Nurul Najihah, tunang kepada Muhammad Adib yang sedang bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan parah ketika diserang perusuh menafikan khabar angin bahawa anggota bomba itu sudah meninggal dunia.

Gadis tersebut berkata Muhammad Adib masih selamat.

Malah, Nurul Najihah turut meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan perkara tidak benar mengenai tunangnya itu.

"Tunang saya masih selamat. Tolong hentikan yang bukan-bukan. Doakan dia Muhammad Adib," katanya dalam satu status di Facebook petang Selasa.

Posting tersebut turut mendapat perhatian netizen dengan rata-rata berharap agar Muhammad Adib diberikan kesembuhan segera.

Muhammad Adib dilaporkan kritikal selepas diserang perusuh awal pagi Selasa.

Dalam pada itu, Nurul Najihah turut memuatnaik posting menyentuh hati mengenai tunangnya itu.

"Kamu kuat. Cepat bangun kamu. Muhammad Adib. Doakan tunang saya... tak kuat tengok kamu macam tu.

Muhammad Adib, 24, mengalami kecederaan parah ketika bertugas di lokasi kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, awal pagi Selasa.

Difahamkan Muhammad Adib mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan dalaman setelah diserang perusuh.

Anggota bomba berusia 24 tahun itu yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS itu ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Muhammad Adib dan Nurul Najihah dijangka berkahwin bulan depan.

Sementara itu, Nurul Najihah turut meminta orang ramai supaya mendoakan tunangnya itu agar kembali pulih.

Muhammad Adib , bomba

Artikel Sebelum

Mahdzir Khalid bakal didakwa tuduhan rasuah

Artikel Berikut

Muhammad Adib kritikal - Zuraida

Artikel Lain