suria

Lelaki bakar ibu mertua sebelum rentung

Gambar hiasan.

NIBONG TEBAL: Lelaki yang rentung dalam kebakaran rumahnya semalam dipercayai bertindak menyimpah petrol dan membakar ibu mertuanya sebelum kediamannya di Taman Cegar, Simpang Ampat di sini turut musnah dalam kebakaran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata berdasarkan siasatan yang dijalankan polis mendapati lelaki berusia 52 tahun itu bertindak sedemikian ketika dalam keadaan marah dan mabuk pada pukul 6.19 petang Khamis.

"Lelaki itu yang berada di tingkat atas rumah turun ke bawah dan telah marah serta memaki hamun isterinya yang berada sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama anak perempuan dan ibu mertua suspek.

"Suspek telah keluar dari rumah dan pergi ke bahagian hadapan rumah serta mengambil satu botol yang mengandungi petrol sebelum masuk semula ke dalam kediamannya serta terus pergi ke arah ibu mertuanya dan menyimpah petrol ke badan wanita itu," katanya di sini Khamis.

Beliau berkata petrol itu turut terkena baju, tangan dan kaki isterinya manakala lelaki berkenaan bertindak mengambil pemetik api dan menyalakan di sekeping kertas sebelum menghalakan ke arah ibu mertuanya.

Shafee berkata api itu menyambar ibu mertuanya, Aganasi Mary, 69, dan menyebabkan isteri suspek menjerit serta terus bertindak membawa wanita berkenaan ke dalam tandas bagi memadamkan api di badan mangsa.

Katanya isteri lelaki itu telah terdengar bunyi letupan di bahagian ruang tamu dan asap penuh di dalam rumah mereka sebelum dia bertindak membawa ibu dan anak perempuannya keluar menggunakan pintu dapur.

"Ibu mertua suspek yang mengalami melecur 90 peratus telah dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya ke Hospital Pulau Pinang kerana dalam keadaan kritikil," katanya.

Beliau berkata mayat lelaki itu ditemukan oleh pihak bomba dalam keadaan rentung dan terbaring di tingkat atas dan dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat.

Katanya polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

bakar, mertua, rentung

Artikel Lain