suria

Tun M akan kotakan janji kepada Anwar, akui satu-satunya ‘diktator’ yang letak jawatan

Dr Mahathir bersama Ketua Umum PH, Anwar semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana. - Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulang bahawa beliau akan mengotakan janji untuk mengundur diri selepas dua tahun bagi memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Janji saya adalah saya akan turun (selepas dua tahun), adakah anda ingat sebarang peristiwa yang menunjukkan saya mungkir janji? Saya ialah satu-satunya 'diktator' yang meletak jawatan," kata Dr Mahathir.

Beliau menjawab soalan bahagian Setiawangsa Bersatu yang diketuai oleh setiausaha politiknya, Zahid Md Arip yang meminta agar beliau berkhidmat selama sepenggal sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Tetapi jika Anwar memberi saya izin untuk kekal selama dua setengah tahun... tetapi janji saya adalah janji," kata Dr Mahathir.

Beliau bercakap kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Sabtu.

Mengenai persoalan bagaimana keadaan antara beliau dan Anwar kini, Dr Mahathir berseloroh menunjukkan aksi genggaman penumbuk ke arah Anwar yang duduk di sebelahnya.

"Saya mahu melawannya tetapi dia tersenyum kepada saya," kata Dr Mahathir.

Sebagai tindak balas, Anwar berkata: "Saya tidak mempunyai masalah (dengan Dr Mahathir). Media (bertanya soalan) adalah masalahnya."

Ini merupakan kali pertama Anwar menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan. - The Star

Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain