suria

SPRM panggil Zahid berhubung dana Yayasan Akal Budi

Ahmad Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka menyoal siasat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan beliau menggunakan dana milik Yayasan Akal Budi, ketika dipanggil memberi keterangan buat kali ketiga pada Rabu.

Sumber SPRM memberitahu, mereka belum selesai menyoal siasat presiden Umno dan bekas timbalan perdana menteri berhubung kes berkenaan.

Jelas sumber, Ahmad Zahid hanya disiasat mengenai isu yayasan itu pada 3 Julai lalu. 

Pertemuan pertama beliau dengan SPRM sehari sebelumnya dipercayai membabitkan siasatan ke 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Kita akan bercakap dengan beliau mengenai perkara ini (Yayasan Akal Budi)," kata sumber kepada The Star pada Isnin.

Presiden Umno itu dijangka berdepan dengan pendakwan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana yayasan itu. 

Sumber SPRM juga dipetik oleh portal dalam talian yang menyebut bahawa Ahmad Zahid mungkin didakwa pada Khamis.

Jika ia benar, ini bermakna Ahmad Zahid akan 'bermalam' di ibu pejabat SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull mengesahkan notis telah dihantar kepada Ahmad Zahid yang meminta hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu pada pukul 10 pagi Rabu.

Zahid bagaimanapun menerusi tulisan di Twitternya pada Isnin memberitahu SPRM hanya merakamkan keterangan beliau dan menasihatkan para penyokongnya tidak mengadakan himpunan di hadapan ibu pejabat SPRM.

Artikel Lain