suria

"Jangan libatkan saya kalau nak publisiti murahan" - Makanan tak seperti ‘review', pengulas jadi sasaran

PETALING JAYA: Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai personaliti media sosial menjadikan ulasan makanan sebagai sumber untuk mereka menjana pendapatan.

Semakin ramai bilangan pengikut di media sosial, bermakna semakin tinggi permintaan untuk mereka dipanggil menjadi pengulas makanan di sesebuah lokasi makan.

Bagaimanapun seorang wanita di Twitter meraih perhatian netizen selepas mengadu tentang makanan yang dinikmatinya di sebuah kafe di ibu negara tidak seperti yang disyorkan oleh pengulas makanan.

Pemilik akaun @hannanrazaini itu ingin bercakap dengan pengulas makanan yang pernah makan di kafe tersebut kerana dipercayai memberi ulasan palsu.

"Makanan 'kedekut' macam ni berharga RM16. Suka hati je letak harga kualiti b***.

"Siapa ulas M**** Cafe Kajang ni? Saya perlu bercakap (dengan anda)," tulis wanita tersebut pada Ahad.

Posting berkenaan diulang kicau sebanyak 2,029 kali dan mendapat lebih 1,000 tanda suka (like).

Namun, nama pengacara Nazrudin Habibur Rahman atau Naz tiba-tiba dikaitkan dengan isu hangat itu sedangkan dirinya tidak tahu-menahu mengenai kafe berkenaan.

Tindakan pemilik akaun Viral Food Crew atau @khairunnaim5 yang mengenakan pautan (tagging) terhadap Nazrudin pada posting @hannanrazaini itu menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen.

Pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan itu berkata, beliau tidak pernah makan di kafe tersebut dan berasa hairan kerana namanya ‘dipetik’.

“Jangan libatkan saya dengan perkara bodoh seperti ini kalau awak (@khairunnaim5) nak publisiti murahan.

“Sebagai pengulas yang berhemah, kita ada kita punya SOP (prosedur operasi standard) dan kami tidak membuat ulasan berbayar seperti mereka (blogger makanan),” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu, beliau dan pihak produksi mempunyai kredibiliti untuk menghasilkan kandungan program yang berkualiti sebelum menerbitkan ulasan kepada penonton.

Nazrudin turut menegaskan, sebagai pengulas yang beretika, individu itu harus menghasilkan kandungan yang telus dan jujur, bukan sekadar mencedok hasil kerja orang lain.

Pengacara itu berpandangan pemilik restoran juga perlu bersikap jujur terhadap pelanggan bagi mengelakkan kekeliruan seperti itu berlaku.

“Saya selalu tanya pemilik restoran sama ada betul ke apa yang dia sediakan untuk kru sama seperti apa yang dihidangkan kepada pelanggan?

“Saya tak mahu mereka hidangkan cantik-cantik untuk kami, tapi apa yang pelanggan dapat adalah sebaliknya. Kami tidak mahu pelanggan rasa tertipu,” ujarnya.

Nazrudin Rahman

Artikel Lain