suria

Suami didakwa mahu upah ‘ah long’ hantar asid, parang panjang untuk ugut isteri ketiga

KUALA LUMPUR: Seorang ketua jabatan di sebuah syarikat pemaju hartanah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Jumaat atas pertuduhan menakutkan isteri ketiganya dengan menghantar mesej melalui aplikasi ‘WhatsApp' dengan menyatakan akan mengupah “ah long” untuk menghantar asid dan parang panjang kepada mangsa.

Salim Mohamod Shafie, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Lelaki itu didakwa menakutkan wanita berusia 33 tahun yang merupakan penganalisis teknologi maklumat dengan menghantar mesej antaranya berbunyi: "Jika you nak tengok I ganas jangan you jangan menyesal kemudian hari sudahlah. 

"I lantik ah long siapkan parang panjang, pendek dan asid. Upah lumayan. Bawa asid saya akan mencubanya kepada kamu".

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Pandan Mewah di sini pada  6.30 pagi, 12 Sept lalu mengikut Sekyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Salim yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia menanggung  keluarga dan tiga anak termasuk seorang daripadanya masih bersekolah dengan gaji RM15,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menetapkan 15 Nov untuk sebutan kes. - Bernama


asid, parang panjang

Artikel Lain