suria

Tun M akan turun berkempen untuk Anwar di Port Dickson

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat kemunculan di Port Dickson, walaupun sebelum ini menyatakan beliau kebiasaannya tidak turun berkempen pada pilihan raya kecil (PRK).

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, berkata beliau bersama ketua-ketua parti komponen yang lain akan menghadiri satu majlis kempen besar-besaran bagi PRK itu pada Isnin ini (8 Okt).

Katanya, beliau perlu berada di Port Dickson bagi menjawab tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saingan tujuh penjuru di PRK Port Dickson

"Saya berpendapat ada ramai orang membuat pelbagai teguran terhadap saya, jadi saya akan ke sana (Port Dickson),” katanya merujuk kepada dakwaan kononnya beliau tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lapor Bernama, beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini, Jumaat.

Sebelum ini, The Star melaporkan, tujuh calon akan bertanding merebut kerusi Parlimen Port Dickson selepas seorang daripada lapan calon yang menyerahkan borang penamaan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini ditolak.

Mereka adalah calon Pakatan Harapan, Anwar, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar mewakili PAS, bekas pembantu peribadi Anwar Mohd Saiful Bukhari Azlan dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad.

Empat yang lain adalah personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan A.Rajendra.



Port Dickson, PRK

Artikel Lain