Azeez Rahim bebas dengan jaminan SPRM - Semasa | mStar

Azeez Rahim bebas dengan jaminan SPRM

Azeez Rahim dibebaskan selepas tempoh tahanan reman berakhir hari ini. FOTO: Bernama

PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dibebaskan pada Jumaat.

Majistret Ahmad Afiq Hasan membenarkan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) itu dan abangnya, yang digelar “Datuk”, dibebaskan dengan jaminan berjumlah RM1 juta dan dua penjamin selepas tempoh tahanan reman berakhir hari ini.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu ditahan pada 25 September selepas hadir di ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan membantu siasatan kes menerima rasuah.

SPRM menahan abang Abdul Azeez setengah jam kemudian di sebuah lokasi di Sungai Buloh, Selangor, manakala sepupu mereka, yang juga seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun, ditahan pada 5.30 petang hari yang sama di Putrajaya.

Kesemua mereka direman selama empat hari bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Pada Sabtu lepas, Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan SPRM melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap Abdul Azeez dan abangnya itu selama enam hari.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek, yang juga sepupu Abdul Azeez, dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin selepas SPRM tidak meminta lanjutan reman.

Abdul Azeez tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Lada pukul 9.30 pagi dengan kemeja biru muda dan tangan bergari disambut kira-kira 100 penyokongnya yang menunggu di perkarangan mahkamah sejak 8.00 pagi.-- BERNAMA

Azeez Rahim , SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain