suria

Nama anak tidak lebih 80 aksara - JPN

ARAU: Tidak lebih 80 aksara, itulah panjang maksimum yang dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada ibu bapa yang hendak mendaftarkan nama anak yang baru dilahirkan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jasri Kasim berkata, selain tidak boleh memberi nama terlalu panjang, ibu bapa juga tidak digalakkan meletakkan nama-nama yang membawa maksud tidak baik.

Nama-nama singkatan seperti ‘Abd’ juga tidak dibenarkan dan mesti dieja penuh 'Abdul' atau 'Mohd' mesti dieja 'Mohamad','’ katanya kepada pemberita pada program Kembara Mobile JPN di sini hari ini.

“Mengikut rekod kita, nama terpanjang pada masa ini ialah 78 aksara sebanyak empat patah perkataan,” katanya.

Pada malis itu, Jasri menyerahkan Sijil Kewarganegaraan Malaysia kepada Muniroh Tehpooyoo, 35, berketurunan Thai, isteri kepada penjawat awam Mohd Fauzi Ku Abdullah, 38, di Kampung Behor Mali, Simpang Empat.

Muniroh yang memegang visa belajar semasa menuntut di sebuah sekolah agama di sini pada 1996 dan berkahwin dengan suaminya sekarang pada 2003, mendapat status Penduduk Tetap (PR) selepas enam tahun berkahwin dan memohon taraf warganegara dua tahun lepas.

“Saya sangat bersyukur menerima Sijil Kewarganegaraan yang membolehkan saya memohon MyKad. Saya juga amat berterima kasih di atas perkhidmatan JPN yang amat baik dan lancar,” kata Muniroh.

Para pegawai JPN itu kemudian singgah di rumah warga emas Fatimah Said, 82, di Bumbung Lima, Tok Naya, Arau, untuk memproses penukaran kad pengenalan lama beliau kepada MyKad.

Jasri berkata, Kembara Mobile JPN adalah inisiatif jabatan itu dengan memfokuskan golongan yang memerlukan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit terlantar dan pesakit mental. - BERNAMA

JPN, nama

Artikel Berikut

Artikel Lain