suria

Selamat tinggal ‘perempuan gedik’, malu jadi wanita, ‘sekmung’ bakar baju dan rambut palsu

PETALING JAYA: Pernah tular kerana memiliki wajah 'jelita' persis seorang wanita tulen, Ervan Rizuan sekali lagi menjadi buah mulut netizen apabila memilih untuk tidak lagi berpenampilan feminin di media sosial.

Walaupun Instafamous yang memiliki lebih 342,000 pengikut di Instagram itu tidak pernah mendakwa dirinya seorang wanita, namun Ervan Rizuan cukup terkenal dengan watak perempuan 'gedik' ketika mempromosikan pelbagai produk di platform tersebut.

Personaliti media sosial yang popular dengan tagline 'sekmung' itu semakin dikenali selepas melakonkan beberapa video parodi dengan berpakaian wanita dan solekan tebal.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 100 'Resume' Lamar Ervan Rizuan

Ervan Rizuan pada Jumaat lalu bagaimanapun memutuskan untuk meninggalkan imej tersebut dan bertindak membakar baju-baju wanita serta rambut palsu miliknya.

Ervan Rizuan memuat naik gambar-gambar lamanya ketika berpenampilan seperti wanita satu masa dulu.

"Sudah lama aku tak buat reviu memakai baju perempuan, apatah lagi nak bersolek jadi perempuan... promosi macam dulu, nak berubah untuk menjadi lebih baik insyaAllah.

"Bila tengok balik gambar-gambar, video-video dulu pakai pakaian perempuan, malunya ya Allah," tulisnya pada posting tersebut.

Selepas membuat keputusan tersebut, Ervan Rizuan mengakui terpaksa menolak banyak tawaran yang memintanya untuk menjadi perempuan, biarpun ditawarkan bayaran lumayan.

Personaliti media sosial itu yakin dengan jalan yang dipilihnya dan tidak kisah sekiranya kehilangan tawaran membuat reviu berbayar seperti itu.

Ervan Rizuan membakar rambut palsu dan pakaian wanita yang dimilikinya.

Menurut pemuda berusia 23 tahun itu, keputusan tersebut bukan dibuat secara tiba-tiba tetapi dia berubah secara perlahan-lahan.

Ervan Rizuan bagaimapun kecewa apabila ada segelintir netizen yang mempersoalkan karakter 'gila-gila' yang sinonim dengan dirinya masih sama seperti dulu.

"Saya bukan tiba-tiba (berubah), dah ambil masa agak lama.

"Ingat senang ke manusia nak berubah? Bukan nak berubah terus jadi alim, tapi nak jadi lebih baik daripada sebelum ni. Jangan salah faham, doakan yang baik-baik," katanya menerusi Instagram Story.

Penampilan terkini Ervan Rizuan.

Biarpun masih ada pihak yang tidak senang dengan perubahan tersebut, rata-rata peminat anak jati Terengganu itu gembira dengan penampilan Ervan Rizuan yang semakin maskulin.

Ervan Rizuan pernah tular pada Julai tahun lalu kerana ingin mencari jodoh.

Usahawan tersebut mendakwa menerima lebih 1,000 direct message (pesanan peribadi) dan 100 'resume' daripada peminat wanita dari dalam dan luar negara yang ingin menjadi isterinya.

Ervan Rizuan

Artikel Lain