suria

Apa perlu anda buat dengan coli buruk, rosak?

-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Sesetengah pakaian lama terutamanya yang masih dalam keadaan elok memang sayang untuk dibuang, jadi sering kalinya diberikan kepada golongan kurang berkemampuan atau dijadikan kain buruk untuk kegunaan di rumah.

Bagaimana pula dengan coli? Semestinya dibuang. Mana boleh diberi kepada orang lain, pasti janggal rasanya.

Sebenarnya coli lama atau yang rosak tidak perlu dibuang sebaliknya dikitar semula.

Syarikat pengeluar pakaian dalam wanita, Wacoal Malaysia menganjurkan kempen ‘Bra Recycle' selama dua bulan mulai 1 Ogos lalu bertujuan mengumpul coli-coli lama atau rosak.

Inisiatif yang merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu bertujuan mengitar semula coli-coli yang terkumpul.

Pengurus Jualan Wacoal Malaysia Wong Lee Yan berkata selain memberi peluang kepada wanita untuk memanfaatkan coli-coli lama, kempen itu juga turut menyokong program kitar semula bagi memelihara alam sekitar.

Syarikat itu menyediakan beg kertas percuma sejak 1 Ogos hingga 30 September di empat cawangan di sekitar Lembah Klang untuk golongan wanita mengisi coli-coli lama, setiap beg kertas boleh memuatkan sebanyak tiga helai coli.

"Mereka hanya perlu mengisi coli ke dalam beg kertas itu dan kemudian menutupnya menggunakan pelekat supaya kemas dan tidak mudah terbuka atau dibuka oleh orang lain," katanya kepada Bernama.

Wong berkata beg kertas itu perlu dibawa ke cawangan-cawangan yang terletak di Sunway Pyramid, Sunway Velocity, Empire Shopping Gallery dan IOI City Mall.

Sebagai penghargaan, syarikat itu memberi baucar diskaun bagi setiap beg kertas yang diserahkan.

"Kempen ini baru sahaja dimulakan di Malaysia tahun lepas dan ia mendapat sambutan menggalakkan. Kira-kira 18,000 coli lama dan rosak berjaya dikumpul untuk dikitar semula," katanya.

Coli-coli lama yang dikumpul kemudiannya dihantar ke kilang pemprosesan untuk dijadikan sejenis bahan api pejal yang dinamakan 'refuse paper and plastic fuel (RPF)' bagi kegunaan industri.

RPF dihasilkan daripada bahan buangan kertas dan plastik termasuk bahan serat selepas dilupuskan dalam suhu yang tinggi.

Lebih dari 179,200 coli dikumpulkan oleh syarikat berkenaan di seluruh dunia sejak kempen itu dilancarkan pada 2008 dan menghasilkan sejumlah 17.9 tan bahan api RPF.

Wong berkata sepanjang kempen itu pada tahun lepas, pihaknya mendapati masih ramai wanita di Malaysia berasa malu untuk memberikan coli-coli lama mereka untuk dikitar semula.

Sementara itu, Wong turut memberi beberapa petua penjagaan bagi memastikan coli tahan lama dan selesa dipakai seperti tidak membasuh coli menggunakan mesin basuh, tidak boleh diseterika, jangan dibasuh kering dan tidak menggunakan sebarang peluntur.

"Setelah dibasuh, sidai coli di tempat yang teduh tetapi mendapat cahaya matahari, jangan jemur di bawah sinar matahari bagi mengelakkan fabrik coli yang kebanyakannya diperbuat daripada kapas dan renda itu daripada rosak.

"Selain itu, jangan sidai coli di bilik air atau di tempat yang gelap dan lembap kerana ia boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria yang boleh mengakibatkan jangkitan atau kegatalan pada payu dara," katanya.

Wong berkata berdasarkan kajian, sebanyak 80 peratus daripada wanita di seluruh dunia memandang remeh terhadap coli yang dipakai kerana mereka membelinya hanya berdasarkan pada faktor cantik, harga berpatutan dan coli yang ada sudah lusuh.

"Ramai dalam kalangan mereka tidak tahu memilih dan memakai coli bersesuaian dengan bentuk badan," katanya.

Menurutnya bagi pemakaian coli baharu, wanita perlu memulakan dengan cangkuk yang paling longgar dan jika coli terletak elok pada tubuh tanpa memberi kesan ketat bermakna coli itu sesuai dengan pemakai.

"Coli yang tidak sesuai akan menyebabkan payudara jatuh, sakit belakang dan isi di kiri kanan menggeleber," katanya.

Beliau berkata wanita juga perlu memberi perhatian kepada mangkuk coli agar tidak memilih yang terlalu kecil atau terlalu besar.

"Pemakaian coli yang tidak tepat akan menyebabkan payudara menjadi kendur, sebab itulah wanita perlu tahu cara memilih dan memakai coli dengan betul," katanya. -Bernama

coli, kitar semula

Artikel Berikut

Artikel Lain