Najib selesai bayar wang jamin RM3.5 juta - Semasa | mStar

Najib selesai bayar wang jamin RM3.5 juta

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi 25 pertuduhan jenayah telah selesai membayar wang jaminan berjumlah RM3.5 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hasil semakan di kaunter jamin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini  pada jam 9 pagi, mendapati  Najib, 65, telah selesai membayar wang  jaminan itu.

Salah seorang peguam yang mewakili Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi berkata Najib selesai membayar wang jaminan itu pada hari Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib dibebaskan dengan jaminan RM3.5 juta

Ditanya mengenai dari mana wang itu diperoleh, Muhammad Farhan berkata ianya adalah daripada baki tabung derma yang dibuka Julai  lepas.

“Wang itu juga diperoleh dari pinjaman kawan-kawan dan daripada akaun Affin Bank  Datuk Seri Najib sendiri yang diguna untuk gaji beliau dan pencen daripada perkhidmatan tahun-tahun dalam kerajaan,” katanya.

Pada 20 Sept lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.282 bilion melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Najib dibebaskan dengan wang  jamin RM3.5 juta dengan dua penjamin sementara kesnya selesai dan menetapkan 16 Nov untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib untuk membayar jaminan itu secara ansuran iaitu RM1 juta dibayar pada 21 Sept (Jumaat)  dan RM500,000 setiap hari sebelum atau pada  28 Sept.

Pada 21 Sept lepas Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan telah membayar jaminan RM1 juta iaitu sebahagian daripada jumlah jaminan RM3.5juta itu.

Bayaran jamin itu dibuat anak lelaki Najib iaitu Mohammed Nizar dan seorang individu bernama Mohd Shahrir Arifin selaku penjamin.

Najib pada 4 Julai lepas  didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan  dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan  pada  8 Ogos lepas, dia mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula  pada 4 Okt. - Bernama

Najib Razak

Artikel Sebelum

SPRM rampas, beku RM2.5 bilion sejak Jun

Artikel Berkaitan

Artikel Lain