suria

"Tunjuk kepada kami di mana wang RM18 bilion"

SERDANG: Mereka yang mendakwa wang pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion tidak hilang, harus menunjukkan kepada kerajaan lokasi wang tersebut berada ketika ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pendedahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat bahawa berlaku kekurangan RM18 bilion dalam dana amanah pembayaran balik GST dikritik pembangkang termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jika tidak hilang, tunjukkan kepada kami di mana wang itu," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung itu tersebut.

Beliau ditemui media selepas melawat pameran seni bertajuk 'Tun M: A Legacy Forever' di Maeps Serdang pada Ahad.

Najib pada Jumaat lalu mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin sudah menggunakan wang Kumpulan Wang Disatukan untuk menampung perbelanjaan bulanan.

Katanya, kerajaan PH kehilangan pendapatan selama 3 bulan apabila GST dikenakan pada kadar sifar dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) belum lagi dilaksanakan.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata kebanyakan dana kerajaan terpaksa digunakan untuk membayar banyak pinjaman yang diambil pentadbiran terdahulu.

"Juga, orang ramai mengharapkan kami untuk memberikan wang percuma kepada mereka kerana ia jadi amalan kebiasaan Najib. Beliau beri wang kepada rakyat secara percuma dan sekarang rakyat mengharapkan kami untuk beri wang kepada mereka secara percuma.

"Namun kita tidak mempunyai wang. Kami tidak mencuri wang seperti dilakukan Najib," dakwa Dr Mahathir.

Ditanya sama ada kerajaan PH merancang untuk membentangkan bajet tambahan di Parlimen minggu depan, Dr Mahathir berkata mereka akan meneliti perkara itu.

GST, Tun M, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Lain