suria

Mohon rakyat Malaysia undi, doakan saya!

Nurul Zuriantie Shamsul.

PETALING JAYA: Nasib gadis kelahiran Malaysia, Nurul Zuriantie Shamsul menjelang pertandingan Miss Universe New Zealand 2018 akan diketahui pada acara kemuncak yang akan berlangsung kira-kira pukul 4 petang, Sabtu (8 malam Waktu NZ) ini.

Susulan itu, Nurul yang mengakui berdebar menjelang hari penentuan itu memohon rakyat Malaysia supaya mengundi dan mendoakan kejayaannya pada pertandingan tersebut.

"Debaran semakin dirasai tetapi saya enggan terlalu memikirkannya. Dengan kesempatan ini, saya mohon rakyat Malaysia doakan semoga urusan saya dipermudahkan.

"Kalau anda mahu saya menang, bolehlah undi saya di https://www.iticket.co.nz/events/2018/aug/nurul-shamsul. Setiap undi anda amat bermakna pada hari penentuan esok (Sabtu)," katanya kepada mStar Online.

Gadis kelahiran Ampang, Selangor itu berkata, pertandingan itu akan ditentukan menerusi undian awam dan juga penilaian panel juri.

"Undi awam adalah sebanyak 50 peratus, manakala 50 peratus lagi dari panel juri.

"Penilaian juri dibuat berdasarkan soal jawab, catwalk, cabaran keusahawanan dan juga penggunaan platform media sosial," katanya.

Kata Nurul, orang ramai masih boleh mengundinya sehingga separuh acara kemuncak itu berlangsung.

Nurul bersama finalis lain pada pertandingan Miss Universe NZ.

Ditanya mengenai tahap keyakinannya pada pertandingan itu, gadis berusia 20 tahun itu enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi.

Sebaliknya, Nurul berkata dia hanya ingin berseronok dan melakukan yang terbaik pada acara kemuncak itu nanti.

"Alhamdulillah, saya harapkan yang terbaik. Saya percaya apa sahaja yang akan berlaku nanti, Allah akan berikan keputusan terbaik dan jika tidak, mungkin ada sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan," katanya.

Sekiranya dia menang, Nurul berkata ia bukan sahaja mewakili New Zealand tetapi umat Islam, Malaysia dan juga gadis berhijab di seluruh dunia.

Lebih membanggakan, penuntut Universiti Waikato, New Zealand itu turut diiktiraf sebagai wanita luar biasa di negara Kiwi itu oleh Our Wahine.

Our Wahine adalah projek khas yang dicipta oleh artis New Zeland, Kate Hursthouse bagi meraikan ulang tahun ke-125 hak mengundi wanita di negara ini.

Nurul berkata, pengiktirafan itu dibuat kerana penglibatan aktifnya dalam menulis puisi dan juga peserta hijab pertama bertanding dalam pertandingan ratu cantik di New Zealand.

"Pengiktirafan itu diberikan oleh Our Wahine, projek khas yang meraikan hak mengundi dan ia amat dekat dengan hati saya kerana saya sering mengikutinya sejak ia ditubuhkan.

"Setiap kali saya melihat wanita lain dipaparkan, saya menjadikannya sebagai inspirasi, jadi perasaan ini amat nyata. Sejujurnya sukar untuk saya mempercayainya," kata Nurul.

Nurul menyertai pertandingan itu untuk memecah tembok sempadan yang sering menjadi halangan wanita berhijab mencapai impian mereka bergelar ratu cantik.

Baru-baru ini, Nurul berkunjung ke Malaysia selama dua minggu ditemani ibunya, Ohan Anie Ediy, 43, untuk mempromosi pertandingan tersebut.

"Jadual saya amat padat. Walaupun penat, ia amat berbaloi dan satu pengalaman yang amat berharga," katanya.

Nama Nurul mula menjadi sebutan apabila dia terpilih sebagai anak Malaysia pertama berjaya menempatkan diri dalam senarai Top 20 Miss Universe New Zealand 2018.

Lebih membanggakan, buat pertama kali dalam sejarah, Nurul merupakan satu-satunya peserta berhijab dari Malaysia yang berentap dalam pertandingan itu.

Bercerita mengenai latar belakangnya, Nurul berkata, ibunya berasal dari Jawa, Indonesia, manakala bapanya rakyat Malaysia yang berasal dari Ipoh, Perak.

Ketika ini dia masih menuntut di dalam bidang psikologi dengan pengkhususan dalam dasar sosial.

Bagi mereka yang mahu melihat anak Malaysia pertama merangkul gelaran Miss Universe New Zealand 2018, undian boleh dibuat DI SINI dan bayaran NZ$5 (RM13.72) dikenakan.

Pertandingan itu boleh ditonton secara live di Facebook Miss Universe New Zeland pada pukul 4 petang Sabtu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain