suria

Azman Mokhtar lepas jawatan pengerusi Axiata

KUALA LUMPUR: Tan Sri Azman Mokhtar melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Axiata Group Bhd (Axiata) pada Jumaat selepas menyandang tugas berkenaan selama 10 tahun.

Beliau turut meletak jawatan sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif dan selaku wakil dana pelaburan strategik negara, Khazanah Nasional Bhd.

Azman baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Khazanah.

Dalam satu kenyataan, Axiata menyifatkan Azman sebagai pemimpin berwawasan yang memaparkan perkhidmatan contoh sejak 10 tahun lepas dan berjaya mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai salah satu kumpulan telekomunikasi terbesar di Asia.

Sejak sedekad lalu sehingga akhir Disember 2017, jumlah pelanggan Axiata meningkat daripada 40 juta kepada hampir 350 juta dan bertapak di 11 negara, sekali gus menjadikannya kumpulan telekomunikasi kedua terbesar di ASEAN dan Asia Selatan.

Malah, dalam tempoh sama perolehan Axiata turut meningkat lebih dua kali ganda kepada RM24 bilion.

Menurut syarikat itu, Azman selaku Pengerusi juga telah mewujudkan amalan terbaik global dalam menginstitusikan prinsip-prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan tadbir urus yang menyaksikan Axiata menerima pengikitirafan dalam bidang berkenaan secara konsisten.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanannya, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata visi, kepintaran dan profesionalisme Azman telah berjaya mengemudi Axiata untuk muncul sebagai juara serantau dan sebuah institusi dengan amalan tadbir urus yang jitu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata pada awal penubuhan kumpulan itu pada 2008, Azman telah memberi mandat untuk mewujudkan syarikat yang pada masa itu dikenali TM International Bhd sebagai juara serantau menjelang 2015.

Ia kemudiannya beralih kepada wawasan lebih besar bagi menjadikan Axiata sebuah syarikat multinasional tulen yang membawa nama Malaysia merentasi rantau ini dan muncul sebagai syarikat terbaik kendalian profesional bagi meraih kecemerlangan dan integriti.

“Tidak mungkin Axiata dapat mencapai semua kedudukan sebagai peneraju industri tanpa nasihat, sokongan dan galakan daripada Azman selaku Pengerusi kami,” katanya.

Azman juga meletakkan matlamat baharu untuk menjadikan Axiata sebagai Juara Digital Generasi Baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan Axiata di serata rantau ini, saya secara peribadi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Azman di atas sumbangan beliau sebagai Pengerusi dan menerajui kumpulan ini selama 10 tahun,” katanya. - BERNAMA

Axiata

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain