suria

Rumah pembaca berita terbakar

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran petang tadi. - Foto: Ihsan Bomba Selangor

SHAH ALAM: Rumah seorang pembaca berita sebuah stesen televisyen tempatan terbakar disyaki akibat litar pintas dalam kejadian di Jalan Landak 20/13, Seksyen 20, di sini, petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan pihaknya menerima laporan pada pukul 4.39 petang.

Beliau berkata, ketika kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang, pembaca berita berkenaan, Nasharuddin Tajudin, 57 berada di rumah bersama anak lelakinya, Mohd Azizan, 21, sementara isterinya tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua mangsa sempat menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu dapur kediaman mereka.

"Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ketika pegawai penyiasat kita tiba di lokasi, dapati terdapat tiga buah jentera bomba serta anggotanya sudah selesai memadamkan kebakaran, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pihak forensik bomba, kebakaran dipercayai berpunca daripada hadapan rumah sama ada dari penyaman udara atau kenderaan mangsa yang diparkir di garaj.

"Kebakaran memusnahkan rumah sehingga ke kawasan ruang tamu dan dua kereta milik mangsa turut terbakar dalam kejadian, " katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Rizal Buang memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.06 petang, sebelum tiga jentera bomba dari Balai Bomba Shah Alam, Kota Anggerik dan Subang dihantar ke lokasi bersama 25 pegawai bomba.

Menurutnya, laporan awal diterima melibatkan kebakaran 80 peratus sebuah rumah teres kelas A serta dua buah kenderaan.

"Kita ambil masa kira-kira 13 minit untuk mengawal kebakaran sepenuhnya.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian, " katanya.

kebakaran, pembaca berita

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain