suria

Jenazah pendaki Malaysia selamat dikebumi

Allahyarhamah Siti Nur Iesmawida Ismail.

KUALA LUMPUR: Jenazah Siti Nur Iesmawida Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur, Selasa malam.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat allahyarham hadir pada pengebumian jenazah kira-kira jam 9 malam yang berlangsung dalam keadaan hujan renyai dan suasana pilu.

Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Ar Rahimah Kampung Pandan Luar untuk disembahyangkan.

Suami kepada allahyarham Siti Nur Iesmawida, Mohd Hafiz Mohd Kassim berkata, perasaannya sedih dan hiba sepanjang perjalanan membawa jenazah isteri kesayangannya pulang ke tanah air dari Lombok, Indonesia.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Kementerian dan Kerajaan Indonesia dalam membantu proses membawa pulang jenazah.

"Saya mohon rakyat Malaysia agar mendoakan isteri saya di tempatkan dikalangan orang beriman," katanya. 

Siti Nur Iesmawida meninggal dunia di Gunung Rinjani, Indonesia susulan gempa berukuran 6.4 magnitud melanda destinasi pelancongan Indonesia, Lombok pada kira-kira pukul 7 pagi Ahad.

Insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang maut dan kira-kira 160 yang lain cedera. 

Pada Ahad, Kementerian Luar mengesahkan bahawa seorang rakyat Malaysia maut dan enam lagi cedera. - Sinar Harian

Siti Nur Iesmawida Ismail

Artikel Lain