Guru didakwa cabul pelajar diburu - Semasa | mStar

Guru didakwa cabul pelajar diburu

JOHOR BAHRU: Polis sedang memburu seorang guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di Kulai bagi membantu siasatan berkaitan kes cabul terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun, April lepas.

Berdasarkan laporan mangsa, guru lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut sebanyak dua kali iaitu pada 11 April dan 22 April lepas.

Kejadian kali pertama berlaku di sebuah bilik perpustakaan sekolah berkenaan di mana guru tersebut meminta pelajar berkenaan menanggalkan baju dengan alasan untuk membuat pemeriksaan badan.

Guru itu kemudian bertindak mencium bibir pelajar tersebut dan memaklumkan bahawa perbuatan berkenaan melayakkan pelajar itu untuk menjadi seorang pengawas sekolah.

Pelajar tingkatan tiga itu sekali lagi menjadi mangsa di sebuah bilik di rumah guru berkenaan di mana guru itu mengulangi perbuatan jijik yang sama.

Pelajar terbabit tidak berani bersuara dan hanya melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak sekolah pada 26 Julai (Khamis) lalu ketika guru berkenaan sedang bercuti tanpa gaji selama sebulan.

Atas nasihat pihak sekolah, pelajar tersebut kemudiannya membuat laporan polis, semalam, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada 10 pagi.

Pelajar tersebut kemudian dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai Supt Dzulkhairi Mukhtar yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.

“Kita sedang mengesan guru berkenaan yang ketika ini sedang bercuti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017,” katanya. - BERNAMA

guru , cabul

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Ulat tiket: Jangan beli!