suria

Pasangan kekasih ditahan terlibat pelbagai kes jenayah

Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan sepasang kekasih yang juga anggota geng pecah kedai, pecah rumah, samun, ragut dan curi motosikal dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Petani, Kubang Semang di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah tersebut pada pukul 10.30 pagi dan menahan pasangan berumur 31 dan 32 tahun itu serta merampas pelbagai barangan hasil kegiatan jenayah mereka.

Katanya, antara barangan yang dirampas daripada pasangan itu ialah 17 utas jam tangan pelbagai jenama, enam telefon bimbit, dua kamera, sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang dicuri di Tasek Gelugor dan sebuah enjin motosikal yang dilaporkan hilang di Machang Bubok.

"Berdasarkan siasatan pasangan itu terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk terbaru, mereka memecah masuk sebuah kedai menjual jam tangan di Jalan Datuk Ooh Chooi Cheng, di sini pada 11 Jun lepas dan melarikan 18 utas jam tangan jenama Polo serta Casio dan wang tunai RM200.

"Mereka juga telah melakukan enam kes samun terhadap warga asing dan masing-masing dua kes ragut serta curi motosikal di SPT sejak dua bulan lepas, malah siasatan mendapati pasangan itu terlibat kegiatan jenayah di Seberang Perai Utara (SPU)," katanya di sini, Sabtu.

Nik Ros Azhan berkata, pasangan yang positif dadah itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah, malah turut dikehendaki polis berhubung kes samun dan curi.

"Polis turut menahan empat lelaki anggota geng berkenaan minggu lepas dan kesemua mereka aktif melakukan jenayah terutama samun dan pecah rumah di sekitar SPT serta SPU. Modus operandi geng tersebut adalah menyamun warga asing yang baharu balik bekerja termasuk pekerja warga Thailand restoran tomyam," katanya.

Beliau berkata, pasangan yang tidak bekerja itu kini direman lima hari dan kes disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, polis menahan dua lelaki warga Nepal di Pangsapuri Desa Cemara, di sini pada 11 malam Jumaat kerana terlibat dalam kegiatan curi motosial serta merampas sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang dilaporkan hilang di Perai baru-baru ini.

"Polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan itu telah menahan dua lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir di pangsapuri itu. Mereka dipercayai cuba mencuri motosikal di situ dan berdasarkan siasatan, suspek didapati menjual motosikal curi kepada warga asing di sekitar SPT,” katanya. - Bernama

Artikel Lain