suria

Polis kenal pasti individu terbabit kes mayat wanita dikerat di Sg. Gombak

Anggota Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat tanpa identiti dipercayai dikerat kepada beberapa bahagian ditemui di tebing Sungai Gombak berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra pada Khamis. - Bernama

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti seorang individu yang disyaki terbabit dengan kes mayat wanita yang dikerat enam dan ditemukan dalam dua beg pakaian di tepi Jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak di sini, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah berkata suspek berkenaan dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi berkenaan.

"Berdasarkan rakaman CCTV, seorang individu dilihat menarik beg pakaian berkenaan sebelum dibuang di tempat kejadian," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata pihaknya kini giat mengesan suspek terbabit berdasarkan rakaman CCTV di lokasi  berhampiran dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Katanya, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim akan mengadakan sidang media berhubung siasatan kes berkenaan, Isnin ini.

Kira-kira 11.30 pagi Jumaat, mangsa berusia dalam lingkungan 30 ke 40 tahun dipercayai beragama  Islam dan bukan warganegara Malaysia serta disyaki dibunuh itu ditemui seorang gelandangan wanita yang tinggal berhampiran.

Laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Komuniti Putra Chow Kit berhubung penemuan beg pakaian yang mencurigakan.

Susulan laporan itu, polis menemukan anggota manusia yang dibungkus dua lapisan plastik hitam dan satu lapisan kain cadar daripada dua beg pakaian pada jarak berasingan lebih kira-kira 20.6m. - Bernama

mayat wanita dikerat

Artikel Lain