suria

Ada pegawai pegang sehingga 68 jawatan - Tun M

Dr Mahathir Mohamad. -fotoTHESTAR

PETALING JAYA: Tiada lagi pegawai awam memegang banyak jawatan dalam agensi, badan atau syarikat kerajaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan amat serius dalam menangani isu penyelewengan dalam pentadbiran yang akan menyebabkan kehilangan wang kerajaan.

"Kita dapati kadang-kadang seseorang pegawai memegang sehingga 68 jawatan dalam pelbagai syarikat dan ini juga akan dikurangkan mengikut keperluan.

"Kita tak akan beri lebih dari lima, malah kita tak galakkan pegang dua atau tiga jawatan," katanya pada sidang media, Jumaat.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata masih terdapat kelonggaran dalam keadaan tertentu memandangkan terdapat pegawai yang perlu memegang lebih dari satu jawatan.

"Sepatutnya satu jawatan sahaja tapi kita tak dapat elak sesetengah pegawai yang perlu pegang jawatan dalam anak syarikat milik kerajaan," katanya.

Menurut Dr Mahathir selain rasuah dan penyelewengan, kerajaan juga akan mengambil tindakan terhadap badan-badan yang didapati menyeleweng dari segi pemberian kontrak.

Beliau mendedahkan satu kes melibatkan syarikat yang diberikan kontrak RM1 bilion untuk membekalkan elektrik ke sekolah.

"Syarikat ini tak buat apa-apa pun tapi sudah kutip duit dari kerajaan, kerja di lokasi belum buat, tak ada satu usaha pun.

"Sekarang ni kita akan ambil tindakan terhadap badan-badan seperti ini," katanya.

Selain itu katanya, semua menteri, timbalan, setiausaha politik dan pegawai tertinggi kerajaan perlu mengisytiharkan harta kepada perdana menteri.

Jelasnya, beliau tidak boleh menyimpan atau menyembunyikan maklumat tersebut sebaliknya perlu disampaikan kepada agensi pencegarahan rasuah.

jawatan, Tun M

Artikel Lain