suria

Zahid, Hishammuddin terbuka jawatan dipertandingkan

Ahmad Zahid (kanan) ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn pada Selasa. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Semua jawatan tertinggi Umno akan dipertandingkan dan terbuka kepada kepimpinan dan ahli parti yang berhasrat menawarkan diri.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Presiden Umno berkata, pendaftaran dalam talian untuk pencalonan jawatan peringkat nasional dan bahagian akan bermula pada 1 Jun ini dan berakhir 17 Jun, pukul 5 petang.

“Semua jawatan yang ada mengikut perlembagaan dan peraturan Umno terbuka dan bebas untuk dipertandingkan termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ketua-ketua sayap. Jadi tidak timbul soal bahawa tiada pertandingan bagi jawatan tertentu.

“Malah, saya dan Datuk Seri Hishammuddin (Tun Hussein) berlapang dada dan terbuka mahu supaya jawatan ini ditandingi sesiapa saja yang berkelayakan dan ikut peraturan.

Sementara pertandingan diadakan di peringkat nasional, kami dipertanggungjawabkan untuk permasalahan dan isu yang sedang dihadapi ketika ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Selasa.

Turut hadir, Hishammuddin yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Menurut Ahmad Zahid, pertandingan akan bermula dengan pengisian borang penamaan calon dan diikuti pemilihan peringkat bahagian.

“Tetapi yang penting bukan soal pemilihan tetapi bagaimana mahu memperkukuhkan umno. Dan kita memberikan peluang kepada semua pihak menawarkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan Khairy diberi tanggungjawab untuk melaksanakan cadangan penstrukturan semula parti.

Mengulas mengenainya, Khairy berkata, beliau diberikan tempoh sebulan untuk mengambil semua cadangan penstrukturan di semua peringkat.

“Dalam tempoh ini kita akan berikan pilihan kepada BN dan Umno dari segi ideologi dan struktur. Kita akan cuba sedaya upaya untuk inklusif,” katanya. - Sinar Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain