suria

Masa akan buktikan pengkritik salah - Shafie

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Selasa memberi jaminan bahawa masa akan membuktikan bahawa individu yang mengkritik beliau kerana memegang jawatan Menteri Kewangan negeri, adalah salah.

Menyamakan kementerian kewangan seperti sebuah kereta, Mohd Shafie berkata jika ada yang salah dengan kenderaan itu, kesalahan harus diletakkan kepada pemandu bukannya pada kereta tersebut.

“Ini bukan salah kementerian, ia adalah kesalahan ‘pemandu'. Kami akan membuktikan (kritikan itu) adalah salah dalam tahun-tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Sabah, di sini Selasa.

Mengenai sama ada beliau akan memegang jawatan itu buat sementara waktu, Mohd Shafie berkata “kita akan lihat”.

Ditanya mengenai perkara utama yang akan diberi tumpuan oleh tiga kementerian baharu di bawah pentadbirannya, ketua menteri berkata beberapa perubahan struktur perlu dilakukan untuk memudahkan penyampaian aspirasi rakyat.

Berhubung laporan polis oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin terhadap ketua menteri yang terdahulu (iaitu sebelum Mohd Shafie), beliau berkata “itu adalah hak beliau untuk berbuat demikian.Saya serahkan kepadanya jika beliau berasa wujud unsur ugutan. Saya berharap pihak berkuasa yang berkaitan akan mengambil tindakan yang perlu”.

Mengenai writ saman yang difailkan oleh ketua menteri sebelum ini terhadap Juhar dan beliau, Mohd Shafie berkata beliau bersedia menghadapinya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaannya seperti yang dijanjikan, sedang mengkaji pemansuhan dasar komunal yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Kami dalam proses mendapatkan butiran mengenai perkara itu dan pengumuman akan dibuat dalam tempoh 100 hari,” katanya.

Berhubung pelantikan anggota Parlimen daripada parti Warisan dalam Kabinet persekutuan, Mohd Shafie melahirkan keyakinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memasukkan Sabah dalam barisan Kabinetnya. - BERNAMA

Shafie Apdal

Artikel Lain