suria

Kes SRC International: SPRM panggil Najib

Najib Razak

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak telah diarah hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM), bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes melibatkan anak syarikat 1MDB, SRC International.

Sumber SPRM memberitahu mStar online,  notis berhubung perkara itu telah disampaikan pegawai suruhanjaya berkenaan kepada mantan perdana menteri itu petang Jumaat.

“Notis memerintah kehadiran bawah Seksyen 30 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 telah diserahkan kepada Datuk Seri Najib," kata sumber berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai SPRM di rumah Najib

Susulan itu, tambah sumber berkenaan, Najib yang juga bekas menteri kewangan perlu hadir ke pejabat SPRM Kuala Lumpur pada Selasa depan.

Terdahulu dilaporkan lapan pegawai SPRM tiba di rumah Najib di Langgak Duta, Taman Duta dekat sini kira-kira pukul 4.30 petang Jumaat.

Sumber itu berkata, pegawai yang ditugaskan ke kediaman bekas presiden Umno itu adalah dari Bahagian Operasi Khas, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Untuk rekod, SPRM pernah menemui bukti pada lewat 2015 bahawa RM42 juta dipindahkan dari bekas anak syarikat 1MDB iaitu SRC International ke dalam akaun Najib.

Perkara itu didedahkan oleh seorang ahli panel yang menyiasat fail kes suruhanjaya tersebut iaitu Datuk Lim Chee Wee.

Namun cadangan SPRM untuk melakukan siasatan lanjut ditolak Peguam Negara, demikian kata Chee Wee kepada Reuters.

Najib bagaimanapun konsisten menafikan salah laku berkaitan dakwaan rasuah membabitkan 1MDB dan menegaskan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank miliknya adalah sumbangan kerajaan Arab Saudi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar untuk menyiasat kes 1MDB dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mungkin bersubahat atau mendapat kepentingan daripada penyelewengan rasuah itu.

SPRM, Najib SRC International

Artikel Lain