suria

KP SPRM: Shukri ganti Dzulkifli

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull dilantik sebagai ketua pesuruhjaya yang baharu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung perkara itu pada Khamis.

Shukri akan menggantikan tempat yang dikosongkan Tan Sri Dzulkifli Ahmad selepas meletak jawatan dan kini kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara mulai Selasa lalu.

"Dia (Shukri) mempunyai banyak maklumat dan sikapnya menentang tindakan yang salah dalam SPRM dan peranan Datuk Seri Najib menghalang siasatan dan kita nak tahu apa yang berlaku," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor di sini, Khamis.

Sebelum ini, Shukri terlibat dalam siasatan kes ke atas syarikat berkaitan 1MDB di mana ia dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shukri bagaimanapun telah mengambil keputusan untuk bersara wajib dua tahun lalu.

Tiga hari lalu, Shukri telah ke Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya untuk menemui Dr Mahathir.

Mengenai seorang lagi bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kasim Mohamed, beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan peranan yang boleh dimainkan kerana mempunyai pelbagai kepakaran dan pengetahuan dalam hal berkaitan rasuah dan salahguna kuasa.




Shukri, SPRM, Dzulkifli

Artikel Sebelum

Anwar kini Top Six PH

Artikel Lain