suria

Bekas guru agama didakwa cabul 10 murid lelaki

KAJANG: Seorang bekas guru agama didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan merangsang dan 18 pertuduhan mencabul 10 murid lelakinya sejak Februari 2014 sehingga April 2017.

Mohd Farid Yusof, 31,  bekas guru Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah rendah agama integrasi mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Lelaki itu didakwa atas dua pertuduhan merangsang dua murid berusia 10 dan 11 tahun  untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau di bilik guru lelaki sebuah sekolah rendah agama integrasi di Bangi, masing-masing pada September 2015 dan November 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mohd Farid yang kini bekerja sendiri turut didakwa atas 18 pertuduhan melakukan kekerasan jenayah bagi maksud mencabul kehormatan 10 murid  berusia antara sembilan dan 12 tahun termasuk seorang daripada mangsa yang dirangsang itu.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di bilik guru lelaki, bilik kesihatan, bilik alat pandang dengar, bilik Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan tiga buah bilik darjah, di sekolah itu antara Februari 2014 dan April 2017 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan  itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan  wang jaminan terhadap tertuduh mengambil kira kes tersebut membabitkan 10 mangsa yang merupakan kanak-kanak manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam  memohon mahkamah membenarkan jaminan yang rendah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin yang terdiri dari anggota keluarga berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu kesemua mangsa dan menetapkan 8 Jun  untuk sebutan semula kes.

Terdahulu tertuduh yang hadir  ke mahkamah ditemani seorang lelaki menutup mukanya dengan tangan dan menundukkan kepalanya sepanjang masa ketika berada di luar bilik bicara sehingga dia dipanggil masuk untuk prosiding pendakwaan.—- Bernama 





Bangi, Kafa, Surita

Artikel Lain