suria

Pengundian cecah 55 peratus sehingga pukul 1 tengah hari

KUALA LUMPUR: Proses pengundian di kebanyakan pusat-pusat mengundi masih berjalan rancak tengah hari Rabu dengan peratusan mengundi di seluruh negara mencecah 55 peratus setakat 1 tengah hari.

Orang ramai masih tidak putus-putus membanjiri pusat-pusat tersebut walaupun terpaksa beratur  panjang dan berpayung dalam keadaan cuaca panas di kebanyakan kawasan.Ada yang dilaporkan terpaksa beratur panjang untuk mengundi.

Contohnya, di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, di sini pemilih dilihat tetap sabar beratur menunggu giliran untuk mengundi mengikut saluran masing-masing meskipun cuaca panas.

Bagaimanapun, ada pusat pengundian yang ditutup awal disebabkan urusan mengundi sudah selesai susulan kawasan itu mempunyai bilangan pengundi yang sedikit.

Di Sarawak, dua pusat mengundi iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kai Nang bagi kawasan Parlimen Sibu dan pusat  mengundi Dewan Serbaguna Taman Heng Guan, Kuching, ditutup masing-masing pada 11 pagi dan 12 tengah hari.

Dalam perkembangan lain, nelayan di Kampung Padang Salim, Kota Kuala Muda, Sungai Petani yang turun ke laut awal pagi tadi pulang ke lebih awal daripada biasa untuk tidak mahu melepaskan peluang mengundi.

Antara yang turut mencuri tumpuan media ialah kehadiran Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah yang dikenali dengan tagline ‘Kipidap” mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Hillcrest, Taman Seri Gombak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut meninjau keadaan keselamatan termasuk di Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi di Bangsar di sini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah turut membuat tinjauan keselamatan pada hari pengundian menggunakan helikopter polis. -Bernama

PRU14, peratus

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain