"Saya Perlu Mandat Untuk Perkasakan Ekonomi Dan Martabat Umat Islam Johor" - Mohamed Khaled - Semasa | mStar

"Saya Perlu Mandat Untuk Perkasakan Ekonomi Dan Martabat Umat Islam Johor" - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled Nordin.

PASIR GUDANG: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berikrar jika beliau terus memimpin untuk lima tahun akan datang, ada dua perkara utama yang akan beliau lakukan untuk menjayakan pembangunan Islam dan bangsa Melayu.

Pertama ialah mewujudkan kekayaan dan ketahanan ekonomi untuk orang Islam dan Melayu.

Dan kedua, memberikan pendidikan terbaik, agar berlaku transformasi pemikiran dan pengislahan di kalangan orang Melayu Islam.

"Maknanya, jika saya terus memimpin Johor, dalam lima tahun akan datang, saya akan mencari apa jua jalan untuk memastikan kita membina kekayaan dan keberdayaan ekonomi orang Islam.

"Semasa zaman Baginda Rasulullah SAW, Islam itu kuat, dihormati dan tersebar luas kerana sokongan dan kehadiran orang Islam yang berharta dan kukuh kedudukan ekonominya.

"Dan Islam tidak sesekali menghalang kekayaan dan kemajuan ekonomi. Justeru, rancangan saya adalah untuk mengumpulkan aset-aset strategik untuk orang Islam. Kita akan bangunkan tanah-tanah orang Islam," ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Permuafakatan Guru Agama Johor, di sini Sabtu.

Khaled pada Majlis Permuafakatan Guru Agama Johor.

Menurut Mohamed Khaled, negeri mahu melihat lebih banyak perniagaan patuh syarak dikuasai oleh orang Melayu dan dijadikan syarikat awam dan disenaraikan. 

"Kita akan pastikan sebanyak mungkin perniagaan orang melayu menjadi ‘a million dollar company’.

"Islam tidak akan maju, berkembang dan dipandang mulia, jika umat Islam itu daif, miskin dan mundur ekonominya. Dan Johor yang Islami mesti dipacu oleh ekonomi orang Islam yang berdaya saing," tegasnya lagi.

Begitu juga transformasi pemikiran orang Islam, ujarnya, Ia akan hanya menjadi retorik tanpa sistem pendidikan bermutu.

Oleh yang demikian kata Mohamed Khaled, jika mahukan orang Islam berjaya, orang Islam mesti mendapat pendidikan berkualiti.

Ini kerana ilmu adalah kunci kepada kemaslahatan umat Islam.

Ujar Mohamed Khaled, hanya melalui pendidikan berkualiti, pemikiran orang Islam akan menjadi berkemajuan. Hanya melalui pendidikan, akan terjelma insan dengan karakter yang unggul.

"Hanya melalui pendidikan terbaik, orang Islam akan boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain.

"Dan bagi menjayakan kedua-dua pelan besar untuk Islam di Johor ini, sejujurnya saya memerlukan kuasa politik.

"Tanpa kuasa politik, Islam dan umatnya pasti akan terjerumus ke kedudukan lebih parah dan terkebelakang.

"Dalam masa beberapa minggu lagi, mandat saya sebagai Menteri Besar akan berakhir. Saya harus kembali semula kepada rakyat. Mendapatkan semula kepercayaan dan mandat untuk meneruskan segala urusan yang telah direncana, tetapi belum sempurna dilaksana," katanya.

Khaled berhasrat untuk menjayakan pembangunan Islam dan bangsa Melayu.

Tetapi jelas Mohamed Khaled, pilihan raya kali ini, bukan pilihan raya biasa-biasa. Ia adalah pilihan raya paling kompleks yang akan kita semua tempuhi.

"Kerana Johor telah dijadikan negeri tujahan. Medan perang paling penting kepada pembangkang.

"Malah, Johor sedang dijadikan negeri transit. Medan membawa pemimpin-pemimpin import yang hanya mahu memegang kerusi, tetapi tidak berminat dengan fungsi dan bakti.

"Kerana kemajuan dan kerancakan ekonomi yang sedang Johor rekodkan, Johor mula dijadikan sasaran untuk mengalihkan kuasa politik orang Melayu dan Islam.

"Di Malaysia ini, saya berani katakan, tidak ada negeri kaya yang lain yang masih dipegang kuat oleh kuasa politik orang Melayu dan Islam," katanya.

Sebab itulah, pada mereka, jika Johor ini kecundang, maka akan kecundanglah Kerajaan Melayu Islam paling kukuh dan berpengaruh di Malaysia.

"Lalu pada kesempatan ini, saya dengan penuh rasa rendah hati ingin meminta pertolongan dan bantuan tuan-tuan dan puan-puan.

"Berilah ruang dan kepercayaan untuk saya dan rakan-rakan meneruskan rencana kami untuk Islam dan bangsa Melayu di Johor ini.

"Selama lima tahun yang lepas, kedudukan Johor telah menjadi jauh lebih baik dari sebelumnya.

"Maka berilah kepercayaan kepada saya dan rakan-rakan untuk lima tahun lagi. Agar kami dapat menjadikan Johor ini, negeri dan masyarakat terbaik dan Islami, insya-Allah," pinta Mohamed Khaled.

Mohamed Khaled Nordin.

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

Artikel Lain