suria

Isu Logo 'Visit Malaysia 2020' Timbul Lagi, Kali Ini Anak VIP Bersuara

Satu daripada logo alternatif rekaan rakyat Malaysia, @nazhiftarmizi yang dimuat naik oleh Nurulhidayah melalui Instagram miliknya.

PETALING JAYA: Kekecohan yang tercetus susulan rekaan logo 'Visit Malaysia 2020' (Tahun Melawat Malaysia 2020) yang disifatkan ketinggalan zaman dalam kalangan netizen baru-baru ini timbul lagi apabila ia mendapat perhatian Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi laman Instagram miliknya memuat naik gambar logo itu dengan kapsyen: "Saya tidak menentang apa-apa, tapi ini (logo 'Visit Malaysia 2020') membuatkan saya ingin menangis. Kenapa? Ok, diam Nurul jangan campur."

Ruang komen pada posting tersebut bagaimanapun ditutup setelah posting itu dimuat naik pada awal pagi Selasa.

Posting Nurulhidayah mengenai logo yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen sejak ia diperkenalkan pada minggu lalu. 

Tidak lama selepas itu, Nurulhidayah sekali lagi memuat naik rekaan logo baharu hasil sentuhan rakyat Malaysia yang berjaya menarik perhatian beliau.

"Harapan saya agar pihak yang berkenaan mempertimbangkan kembali pandangan rakyat Malaysia.

"Bukan kutuk pun, bagi pandangan untuk kebaikan bersama," katanya menerusi posting lain di Instagram.

Wanita berusia 39 tahun itu berkata, rakyat Malaysia tidak memiliki banyak titik persamaan terutama hal yang melibatkan politik, namun perihal mengenai agama, bola sepak, seni dan isu membabitkan perkahwinan sering menyatukan rakyat negara ini untuk sama-sama membahaskannya.

Rata-rata netizen yang menjadi pengikut personaliti itu bersetuju dengan pendapatnya dan meminta agar pihak yang berkaitan dapat mempertimbangkan rekaan logo yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Logo cadangan kedua yang direka oleh seorang arkitek, @atiraariffyn yang dikongsikan oleh Nurulhidayah di Instagram.

Netizen yang menggunakan akaun @farhanifarahferrari berkata: "Malaysia memiliki ramai orang yang berbakat. Malangnya peluang diberikan kepada mereka yang tidak (berbakat)."

Terdahulu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz tetap mempertahankan rekaan logo 'Visit Malaysia 2020' biarpun netizen menimbulkan reaksi kurang senang terhadap rekaan tersebut.

"Kritikan adalah biasa, kita tidak boleh dapatkan persetujuan rakyat seluruh Malaysia.

"Kalau nak tunggu semua orang setuju, sampai tahun 2020 pun (logo tersebut) tidak akan siap," katanya ketika dihubungi The Star pada Ahad.

Sementara itu, Nurulhidayah ketika dihubungi mStar Online pada Selasa berkata: "Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan begitu dekat di hati saya kerana ayah saya pernah berkhidmat di sana sebagai timbalan menteri kementerian itu tidak lama dulu.

"Saya tahu mereka (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan) lebih bagus daripada ini," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Visit Malaysia 2020

Artikel Lain