suria

Dapat 70 Beg Darah Lepas Kempen Guna Poster, Facebook

Pelajar dan kakitangan kolej tidak melepaskan peluang menderma darah. - Sinar Harian

HULU SELANGOR: Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Kolej Komuniti Hulu Selangor berjaya memperoleh 70 beg darah melalui penganjuran kempen Derma Darah di kolej berkenaan.

Pegawai Pembangunan Pelajar kolej tersebut, Hafiz A Rahman berkata, program di bawah Unit Pengambilan Pelajar itu dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar terbabit dengan kerjasama Pusat Darah Negara.

Menurutnya, pelajar menjalankan promosi dengan menaikkan poster di pejabat pos, masjid, balai polis dan stesen minyak di sekitar Batang Kali.

“Kempen ini juga dipromosikan secara maya melalui laman sesawang Kolej Komuniti Hulu Selangor sertai aplikasi Facebook Kolej Komuniti Hulu Selangor dan komuniti setempat.

“Pusat Darah Negara turut mengadakan pameran berkaitan kepentingan menderma darah dan mulanya hanya menyasarkan 50 beg darah, namun dalam tempoh lapan jam berjaya memperoleh 70 beg darah.

“Penderma terdiri daripada kalangan pelajar, kakitangan kolej dan masyarakat sekitar daerah ini,” katanya.

Hafiz berkata, berdasarkan sambutan menggalakkan, pihak kolej berhasrat untuk menganjurkan kempen tersebut sebanyak dua kali setahun.

Menurutnya, penganjuran akan dikendalikan pelajar di bawah pemantauan tenaga pengajar bagi memberi pendedahan terhadap aktiviti kemasyarakatan agar dapat dipraktikkan selepas tamat pengajian.

“Bukan sahaja berkemahiran dalam bidang akademik malah berkemampuan dalam menganjurkan sesuatu program untuk berbakti kepada masyarakat.

“Kepentingan menderma darah dapat menyelamatkan nyawa orang lain, maka sikap prihatin sebegini perlu diterap dalam diri generasi muda kerana mereka akan mewarisi negara,” katanya. - Sinar Harian

derma darah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain