Seleweng RM3 Juta, SPRM Tahan Bekas Pegawai Tadbir ICSU-ROAP - Semasa | mStar

Seleweng RM3 Juta, SPRM Tahan Bekas Pegawai Tadbir ICSU-ROAP

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai tadbir kanan Majlis Sains Antarabangsa Pejabat  Serantau bagi Asia Pasifik (ICSU-ROAP) di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM), yang disyaki menyalahgunakan kedudukan serta terlibat rasuah dan penyelewengan dana.

Suspek berusia 44 tahun itu didapati memalsukan tandatangan untuk mendapatkan kelulusan ASM bagi menjalankan program anjuran ICSU-ROAP yang diuruskannya.

Difahamkan, suspek yang dilantik secara kontrak sejak 2008 bersubahat dengan rakannya, seorang awam bagi menyeleweng dana kira-kira RM3 juta sejak 2012 hingga 2017.

Turut ditahan adalah rakan suspek berusia 57 tahun bagi membantu siasatan.

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut sambil menambah bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Simi berkata, kedua-dua suspek ditahan di sebuah kondominium di ibu negara antara pukul 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari Isnin.

Siasatan awal mendapati rakan suspek menyamar menggunakan gelaran sebagai seorang profesor lestari dari universiti tempatan, kononnya merupakan seorang ahli sains yang mewakili negara ke program-program di luar negara anjuran ICSU-ROAP.

Difahamkan, suspek bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan kewangan ICSU-ROAP. 

Menurut sumber, suspek juga dipercayai memalsukan tandatangan pengarah dan pengurus program ICSU-ROAP dalam dokumen tuntutan bagi pelaksanaan program tersebut. 

Tambah sumber, pegawai berkenaan disyaki menyeleweng dana berkaitan pelaksanaan 73 program dalam dan luar negara yang dianjurkan ICSU-ROAP.

“Pegawai tersebut didapati telah mengemukakan invois, bil hotel, tiket penerbangan dan lain-lain dokumen yang disyaki palsu bagi menyokong perbelanjaan program sedangkan ada setengah perbelanjaan tidak wujud.

“Ia bertujuan untuk mendapatkan semula duit tersebut dengan menyalurkan ke akaun peribadinya,” ujar sumber lagi.

Suspek turut didapati mereka-reka mengenai kewujudan seorang akauntan ASM yang kononnya membenarkan bayaran lebihan seperti hotel dan tiket penerbangan dikembalikan dan dimasukkan ke akaun peribadi suspek.

Difahamkan, dana untuk ICSU-ROAP disalurkan daripada ICSU-Paris sebanyak 75 juta euro (RM361 juta) dan RM1 juta dana daripada Kementerian Kewangan yang disalurkan melalui Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (Mosti) ke ASM setiap tahun. 

Dalam pada itu, Simi berkata, kedua-dua mereka dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa untuk permohonan perintah tahanan reman.

SPRM , Akademi Sains Malaysia

Artikel Sebelum

"Saya JSJ, Ditahan Oleh JSJ"

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lans Koperal Ditahan Terima Rasuah

SPRM Sita RM4 Juta Dari 17 Akaun Bank

Artikel Lain

Timbalan menteri di JPM meninggal dunia