suria

Rempuh Gerai Burger: Tiada Kecederaan Serius

Foto kredit: Taiping Terkini Official

IPOH: Insiden kes rempuhan sebuah kereta ke atas gerai burger yang tular dalam media sosial tidak melibatkan sebarang kecederaan serius sehingga perlu ditahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata semua yang terlibat dalam kejadian berhampiran Stadium Hoki Azlan Shah kira-kira 8.40 malam itu hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di HRPB.

Katanya siasatan mendapati hanya empat mangsa cedera dalam insiden itu, bukannya sembilan sebagaimana tular dan penolong pegawai penyiasat polis sudah menemui semua mangsa di lokasi kejadian.

"Hasil semakan mendapati setakat ni dua laporan polis diterima masing-masing daripada peniaga burger dan seorang pembeli.

"Kerosakan melibatkan satu gerai burger beroda tiga, dua motosikal masing-masing milik peniaga serta pelanggan dan ia adalah pada tahap minimum," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat sambil menambah maklumat lanjut akan diberikan kemudian.

Mohd Ali berkata pemandu Myvi seorang lelaki berusia 74 tahun yang merempuh gerai itu belum membuat laporan polis dan pihaknya sedang berusaha menghubungi anak pemandu terbabit bagi mendapatkan keterangan lanjut.

Kejadian rempuhan yang tular dalam media sosial sejak malam tadi itu menyatakan peniaga bersama sembilan pelanggan di gerai terlibat cedera setelah dirempuh sebuah Myvi Putih dipandu seorang lelaki yang dipercayai mabuk.-Bernama

Kedai Burger

Artikel Sebelum

Siti Hasmah Disoal Siasat Polis

Artikel Berikut

Kantoi Kebas Ayam

Artikel Lain