suria

“Cakap Banyak Kau Mati”

BUKIT MERTAJAM: Cakap banyak kau mati!

Itu mesej ugutan yang diterima Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu yang tidak dikenali, petang Selasa.

Cheng Guan berkata, ugutan berkenaan dipercayai dibuat pihak tertentu selepas beliau banyak membangkitkan isu penyalahgunaan kuasa yang berlaku di negeri ini termasuk skandal pembinaan terowong dasar laut sehingga beberapa tangkapan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Bimbang keselamatan diri dan keluarganya terancam, Cheng Guan melaporkan mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, pagi Rabu.

“Ini kali pertama saya menerima mesej berbaur ugutan bunuh walaupun telah sekian lama membangkitkan pelbagai isu yang berlaku di Pulau Pinang.

“Saya tidak takut dengan ugutan ini kerana apa yang saya bangkitkan selama ini adalah mengenai kepentingan rakyat di negeri ini dan sebagai anak jati Pulau Pinang dan ahli politik, saya berhak untuk bersuara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan IPD Seberang Perai Tengah, di sini.

Cheng Guan berkata, dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang bertanggungjawab melakukan ugutan berkenaan dan berharap polis akan dapat melakukan siasatan.

Katanya, beliau akan terus membangkitkan isu salah laku dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku di negeri ini dan berharap semua kes berkenaan diambil tindakan bagi memastikan Pulau Pinang bebas daripada rasuah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian

Ugut Bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Maut Ketika Cas Telefon Bimbit

Artikel Lain