suria

Dr M Minta Maaf Kesilapan Lalu

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf di atas kesilapan lalu sepanjang menjadi perdana menteri.

"Sebelum saya menamatkan ucapan, saya ingin memohon maaf jika telah menyinggung perasaan sesiapa pun.

"Seperti manusia lain, tidak mungkin sunyi daripada berkata dan melaku kesalahan. Bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara.

"Saya memohon maaf atas semua kesilapan saya yang lalu," kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bersatu, Sabtu.

Mengenai isu untuk mengekalkan perpaduan dalam Bersatu, bekas perdana menteri itu berkata, tidak ada tempat untuk pendapat dan pandangan yang berbeza dalam kalangan ahli parti.

"Tidak akan ada tempat bagi orang-orang seperti itu di Bersatu, mereka mesti sedar bahawa tindakan mereka hanya akan membantu Datuk Seri Najib Tun Razak memenangi pilihan raya umum ke-14," katanya.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa pemimpin meninggalkan parti selepas menimbulkan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan.

Antara mereka yang telah meninggalkan Bersatu adalah anggota pengasas Anina Saadudin dan Kamarulzaman Habibur Rahman serta bekas naib presiden parti Datuk Hamidah Osman.

Mengenai peruntukan kerusi untuk pilihan raya umum, Dr Mahathir berkata anggota parti mesti menerima hakikat bahawa mereka tidak akan dapat bertanding di setiap kawasan yang mereka mahukan.

"Di banyak tempat, calon datang dari pelbagai pihak di Pakatan Harapan. Itulah sebabnya kita mesti bekerja keras untuk memberi kemenangan kepada parti-parti pembangkang yang lain.

"Sekiranya kita tidak menyokong calon Pakatan di kawasan lain, jangan harap calon kita mendapat sokongan daripada parti lain dalam barisan pembangkang," katanya.

Dr Mahathir, Pribumi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain