suria

TH Tanggung RM1 Bilion Subsidi Haji Sejak 2009

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) telah memperuntukkan lebih RM1 bilion sebagai subsidi haji sejak tahun 2009 – satu angka yang menzahirkan kemantapan kedudukan kewangan TH, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurut beliau, untuk musim haji yang lepas, TH membiayai subsidi haji sebanyak RM300 juta dan menjangkakan akan menanggung subsidi mencecah RM400 juta bagi musim 2018, susulan kenaikan pelbagai kos mulai tahun hadapan.

"Peningkatan kos termasuk pengangkutan, penginapan, makan minum dan sebagainya, akan menyebabkan kos sebenar menunaikan haji naik kepada RM22,450 seorang, daripada jumlah ini, jemaah hanya membiayai RM9,980 manakala RM12,470 ditanggung menerusi sistem subsidi TH.

"Ia bukan sahaja melambangkan kekukuhan kewangan Tabung Haji sendiri, malah kesungguhan kakitangan serta sokongan daripada rakan-rakan korporat yang sentiasa bersama dengan Tabung Haji," katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat Musim Haji 1438H/2017 di sini, Selasa.

Turut hadir, Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Johan Abdullah serta wakil agensi kerajaan dan swasta yang membantu kelancaran pengurusan jemaah haji baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, agak dikesali apabila masih ada pihak yang mendakwa TH sengaja memperbesar-besarkan jumlah tanggungan subsidi yang dibiayai mereka dengan mendakwa kos sebenar haji adalah lebih murah.

"Dalam media sosial ada yang mendakwa tambang (kos) sebenarnya tak sampai RM22,450, dakwaan disebarkan dengan menampakkan seolah-olah TH sengaja nak menceritakan bahawa TH perlu tanggung subsidi RM12,470 untuk musim akan datang sedangkan kata mereka kos sebenarnya lebih murah.

"Secara logik pun kita boleh lihat, cuba lihat pada yang buat umrah, umrah selama tujuh hari pun kosnya hampir RM10,000, inikan pula haji 40 hari duduk di sana, ini waktu kemuncak, orang berada di Makkah begitu ramai, semua kos, sewa hotel, makan akan diletakkan pada harga tertinggi pada waktu tersebut," jelasnya.

Pada majlis itu, sebanyak 29 syarikat diraikan, terdiri daripada pelbagai agensi, institusi korporat dan swasta serta persendirian yang terlibat dalam Program Sahabat Korporat telah memberi sumbangan sebanyak RM5.3 juta dalam pelbagai bentuk kepada TH untuk kelancaran urusan haji yang lepas.

Musim haji lepas menyaksikan seramai 42,200 jemaah Malaysia berada di Tanah Suci untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu.-- Bernama

TH, Jamil Khir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bocor Maklumat: SPRM Lapor Polis

Artikel Lain