suria

Tangani Obesiti Pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam menyediakan modul latihan bagi mengawal masalah obesiti dalam kalangan murid sekolah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata modul latihan tersebut turut menjadi garis panduan kepada guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan mengenai pengetahuan pemakanan supaya mereka boleh melaksanakan aktiviti pengawalan pemakanan murid.

Katanya, kini hampir setiap sekolah mempunyai seorang guru yang memantau tahap kecergasan murid dengan pelbagai latihan dan pendidikan secara berterusan bagi menangani masalah obesiti.

“Kementerian sentiasa mengambil berat status pemakanan murid di sekolah dengan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memberikan maklumat mengenai makanan yang boleh dan dilarang dijual di kantin sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan 2017 di sini, Jumaat.

Selain itu, katanya, inisiatif Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) turut diperkenalkan di semua sekolah selain program Cara Hidup Anda Terbaik (C-HAT) pula diketengahkan dalam kalangan ibu bapa bagi memberi pendedahan mengenai masalah obesiti melibatkan golongan pelajar.

Dr Subramaniam kedua-dua kementerian itu mengetengahkan program ‘Doktor Muda' dalam kalangan pelajar untuk memberi kesedaran kepada murid mengenai kepentingan amalan diet seimbang.

Katanya, pemantauan yang dijalankan oleh kementeriannya melalui Pasukan Kesihatan Sekolah mendapati pada suku tahun pertama tahun ini seramai 7,278 murid tahun enam di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata konsep persidangan pada tahun ini yang bertemakan ‘Berhemah dan Berintegriti' itu perlu dibudayakan dan dimantapkan daripada peringkat akar umbi hingga ke peringkat pengurusan.

Katanya, tugasan seharian yang dilaksanakan oleh warga pengurusan kementerian berlandaskan integriti, boleh dipercayai dan mempunyai tahap etika tinggi mencerminkan profesionalisme yang perlu di dokong oleh semua warga pengurusan.— - BERNAMA

obesiti, pelajar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain