Lelaki Mangsa Amuk Pekerja Bengkel Kereta - Semasa | mStar

Lelaki Mangsa Amuk Pekerja Bengkel Kereta

KAJANG: Seorang lelaki yang mengesyaki beberapa komponen keretanya hilang di sebuah bengkel dekat sini diserang gara-gara terlalu banyak bertanya mengenai perkara itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata lelaki berusia 35 tahun yang juga pemilik kereta terbabit meninggalkan keretanya untuk dibaiki di sebuah bengkel di Simpang Balak, Julai lalu.

"Akibat kekangan kewangan, dia terpaksa membiarkan kereta itu di bengkel tersebut kerana tidak dapat membayar kos baik pulih," kata Mohd Sabri.

Namun, apabila mangsa kembali ke bengkel tersebut untuk bertanya mengenai keretanya pada 15 November lalu, dia menyedari beberapa komponen dan aksesori keretanya hilang dipercayai dicuri.

Dia bertanya kepada salah seorang pekerja bengkel sebelum diserang menggunakan parang.

"Suspek kemudian mengambil parang dan melibas tangan kiri mangsa," kata Mohd Sabri.

Pemilik kereta itu menerima beberapa jahitan di bahagian tangannya yang cedera dan membuat laporan polis.

Polis menahan pekerja bengkel tersebut pada Jumaat dan merampas parang yang digunakan untuk mencederakan mangsa.

Walaupun suspek disahkan negatif dadah, dia mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah.

Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk memohon perintah tahanan reman pada Sabtu.

amuk , bengkel kereta

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

RM11 Juta Ditemui Dalam Serbuan Di Sabah

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel