suria

Video Produk Kecantikan Dikecam

Salah satu adegan dalam video tersebut.

PETALING JAYA: Rakaman video mempromosikan produk pemutihan kulit dan penurunan berat badan mencetuskan kemarahan netizen kerana didakwa berbaur penderaan domestik.

Video berdurasi empat minit itu yang dimuat naik dalam laman Facebook Kokom, menggambarkan seorang suami menceraikan isterinya kerana penampilan fizikalnya.

Video pertama menunjukkan wanita itu dilayan buruk oleh suaminya.

Ia berbeza dengan sifat penyayangnya yang dipaparkan semasa sesi imbas kembali, mungkin sebelum pasangan tersebut berkahwin.

Malah terdapat adegan suami menghalau isterinya keluar dari rumah dan menceraikannya dengan talak tiga.

Video itu kemudiannya menunjukkan wanita itu mengadu kemelut rumah tangganya kepada rakannya yang mengesyorkan satu produk kecantikan yang boleh mengubah paras wajahnya.

Kemudian dalam video itu, lelaki tersebut menyedari kecantikan bekas isterinya dan cuba memenangi semula hatinya.

Watak isterinya yang cantik itu dilakonkan oleh seorang wanita yang berbeza.

Wanita itu bagaimanapun enggan menerima lelaki tersebut semula dalam hidupnya.

"Kokom" sebenarnya adalah Cocombee Studio, syarikat produksi yang menghasilkan dan mengarahkan video untuk produk kosmetik, SlimmeWhite Malaysia.

Video itu yang dimuatnaik pada 25 September lalu mendapat 7,000 komen dan dikongsi sebanyak 9,000 kali.

Meskipun video itu sudah menjadi tular dan mendapat kecaman netizen, Cocombee Studio menerusi komennya di Facebook berkata mereka tiada sebarang niat jahat dalam menghasilkan video tersebut.

Katanya, adegan keganasan dalam video itu diambil semata-mata untuk menjadikannya lebih 'dramatik'.

"Video itu beritahu anda, jika anda tidak suka dengan penampilan isteri anda, jangan layan mereka seperti mereka tiada apa-apa kerana mereka telah bekerja keras untuk anda dan melakukan apa sahaja untuk membuat anda gembira.

"Mesej utama dalam video itu adalah hargai isteri anda. Ia berdasarkan beberapa kisah benar," kata syarikat produksi itu.

Dalam satu kenyataan kepada The Star, Cocombee Studio berkata SlimmeWhite Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas laman blog hiburan dan gaya hidup bahasa Inggeris yang membangkitkan isu itu sehingga mencetuskan kontroversi.

Syarikat itu mendakwa laman blog itu telah memutarbelitkan mesej di sebalik video tersebut.

"Mereka juga menyebarkan video dalam Internet tanpa kebenaran kami atau menghubungi kami atau SW (SlimmeWhite Malaysia) untuk mendapatkan penjelasan," katanya.


Artikel Lain