suria

Rusuk Wanita Patah Ditumbuk Suami

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang suami mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini Jumaat atas dua pertuduhan menumbuk rusuk kiri isteri keduanya sehingga patah tulang dan menakutkan mangsa, minggu lepas.

Mohd Norzaidi Mohamed, 30, yang merupakan perunding tuntutan kemalangan didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah kepada Fara Sharmila Mohd Shariff, 29, seorang suri rumah, dengan menumbuk di bahagian rusuk kiri sehingga menyebabkan patah pada tulang rusuk mangsa.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di ruang tamu rumah mangsa di Taman Saga, Ampang, pada 7 pagi 21 September lepas mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan hendaklah dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa telah menakutkan secara sengaja terhadap mangsa, dengan niat hendak mendatangkan ketakutan kepada wanita itu di tempat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana mendatangkan cedera parah kepada isterinya sendiri.

Peguam Kelvinder Singh Sidhu yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh menyara isteri pertamanya yang tidak bekerja serta lima anak mereka dan tertuduh juga menetap dengan isteri pertamanya.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak menghubungi dan mengganggu mangsa dan menetapkan 26 Oktober untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

tumbuk, tulang rusuk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain