suria

Pesta Arak Tetap Dilarang

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap bertegas melarang pesta arak 'Better Beer Festival 2017' walaupun pihak penganjur menjamin aspek keselamatannya, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, DBKL tetap tidak akan mempertimbang semula penolakan permohonan penganjuran pesta itu sebelum ini kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga akan berlaku penjualan arak di tempat terbuka.

"Mereka boleh mengadakan pesta itu di hotel, pub atau restoran. Saya tidak kisah. Tempat terbuka tidak akan dibenarkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Minggu Perpaduan dan My Rukun Negara 2017 Peringkat Kuala Lumpur serta #V4KL@Unity di sini, Ahad.

Beliau berkata, aspek keselamatan perlu diletak di bawah kredibiliti dan tanggungjawab pihak polis yang jelas turut tidak menyokong pesta tersebut.

"Dia (penganjur) kata cukup selamat, tidak kan jadi apa-apa, itu dia kata, tapi keselamatan rakyat tanggungjawab kerajaan, " tambahnya.

Pihak penganjur telah meminta DBKL untuk mempertimbang semula keputusan mereka menolak program itu kerana pihak penganjur mendakwa telah mengambil langkah keselamatan kepada para pengunjung.

Pesta itu dicadang diadakan selama dua hari mulai 6 Oktober di Publika Shopping Gallery di sini. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain