suria

Pengasuh Didakwa Dera Bayi

KAJANG: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin atas pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan, minggu lepas.

Noordiana Shamsudin, 26, didakwa mendera mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal mengikut  Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan tersebut  di rumahnya di Taman Bukit Mutiara Kajang, di sini antara pukul  7.15 pagi dan 8.30 pagi, 18 September lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorhafizan Zakaria menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh namun Noordiana yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan dia hanya berpendapatan RM800 sebulan dan perlu membantu suaminya.

Hakim Surita Budin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Oktober untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Difahamkan tertuduh menjaga dua orang bayi termasuk mangsa di rumahnya dan laporan  perubatan  daripada hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan di kedua-dua belah pipinya.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Trak Penghantaran Emas Dirompak

Artikel Lain