suria

Kerana Dendam 7 Remaja Tergamak Bakar Tahfiz

PETALING JAYA: Ejek-mengejek membawa kepada niat untuk membakar bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh (gambar) mengesahkan seramai tujuh remaja berusia 11 hingga 18 tahun ditahan selepas siasatan rapi dijalankan sejak Jumaat lalu.

"Pihak polis berjaya menangkap tujuh orang saya boleh mengesahkan kes ini selesai.

"Siasatan rapi dibuat dengan bantuan beberapa pihak dan turut merampas topi keledar, seluar serta motosikal yang digunakan.

"Enam daripada mereka positif ganja," ujarnya pada sidang media Sabtu malam.

Amar Singh berkata, mereka melakukannya dengan niat membakar.

"Kesemua mereka telah dibawa ke mahkamah dan kami berjaya mendapatkan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini (16 September)," ujarnya.

Dalam kejadian 5.15 pagi Khamis lalu, seramai 21 orang pelajar dan dua orang warden asrama maut.

Jelas Amar Singh, dua daripada yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kebakaran dimulakan dengan satu bahan pembakar dan tidak wajar saya memberitahu cara-cara jenayah dilakukan kerana ia boleh menjejaskan siasatan mahkamah.

Pihak media hadir memberikan liputan bagi sidang media khas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada Sabtu malam.

"Saya juga memberi amaran segala keterangan atau maklumat yang diperolehi menerusi telefon supaya tidak disebar  kerana ia boleh memberi perbezaan dengan bukti mahkamah," jelasnya.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, Amar Singh berkata: ""(Ada di antara) mereka adalah lepasan sekolah dan tidak bersekolah di sekitar kawasan Datuk Keramat," katanya sambil memberitahu siasatan dilakukan mengikut Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 435 iaitu melakukan khianat dengan api.

Amar Singh berkata kesemua suspek itu mendakwa membakar pusat tahfiz berkenaan dengan niat tetapi bukan untuk membunuh.

Amar Singh berkata kesemua remaja lelaki itu direman selama tujuh hari mulai Sabtu.

Beliau berkata laporan ujian air kencing menunjukkan enam daripada mereka positif dadah dan dua orang mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 148 iaitu merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 379A iaitu mencuri kenderaan.

Suasana orang ramai yang menghadiri majlis pengebumian jenazah pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Jalan Keramat . - Bernama

"Polis telah merampas lima helai baju, lima helai seluar, empat topi keledar dan tiga motosikal. Baju dan seluar akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk menjalani analisis hidro karbon.

"Individu lelaki yang dirakam oleh kamera litar tertutup Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang tular merupakan seorang daripada tujuh suspek yang ditahan," jelasnya.

Menjawab soalan berhubung dua tong gas yang ditemui di luar pintu asrama tingkat dua premis itu, beliau berkata: "Semua suspek mengambil dua tong gas itu dari tingkat bawah premis tahfiz dan membawa naik ke tingkat berkenaan (tingkat tiga bangunan tahfiz).

"Siasatan polis turut mendapati adanya bahan yang digunakan untuk mempercepatkan kebakaran."

Amar Singh berkata polis juga sedang menyiasat sumber petrol yang digunakan bagi tujuan mempercepatkan kebakaran pusat tahfiz itu.

Petugas Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) yang dikenali sebagai Siti Halijah menenangkan seorang daripada anggota keluarga mangsa kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang tidak dapat menahan kesedihan. - Bernama

Mengenai seorang pelajar tahfiz yang dipanggil membantu siasatan semalam, beliau berkata pelajar itu telah selesai disoal siasat dan didapati tidak terlibat.

Sementara itu, Amar Singh memberi amaran kepada orang awam supaya menghentikan penyebaran maklumat berkaitan fakta kes kebakaran pusat tahfiz itu, yang terburuk dalam dekad ini, kerana ia akan mengganggu siasatan polis dan prosiding, jika kes itu dibawa ke mahkamah.

"Sekiranya masih ada individu yang menyebarkan maklumat tersebut, mereka boleh ditahan di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Tragedi kebakaran pada 5.15 pagi Khamis lepas, yang mengejutkan banyak pihak, mendapat perhatian rakyat Malaysia dengan semua pihak mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengelak peristiwa sama berulang.

Tragedi Tahfiz

Artikel Lain