suria

48 Jemaah Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci

- Gambar hiasan

TEMERLOH: Lembaga Tabung Haji (TH) berkata setakat hari ini 48 jemaah haji Malaysia disahkan meninggal dunia di tanah suci.

Anggota Lembaga Pengarah TH Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata angka itu rendah berbanding 32 orang keseluruhannya tahun lalu, selepas diambil kira pertambahan 10,000 jemaah bagi musim haji kali ini.

"Pada tahun ini, kita lebih ketat dalam pemeriksaan kesihatan dan setiap doktor diminta untuk benar-benar memastikan tahap kesihatan jemaah sebelum memberikan kelulusan.

"Jika ada sakit, perkara itu hendaklah dimaklumkan  lebih awal kepada TH dan jika didapati ada doktor yang meluluskan mereka yang tidak sihat, mereka boleh dikesan kerana setiap doktor diberikan nombor pengenalan khusus TH," katanya.

Abdul Shukor berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi waris Mohd Sufian Resli, 38, yang meninggal dunia di Makkah pada 6 Sept lalu akibat jangkitan paru-paru, di Taman Bukit Bendera, Mentakab di sini, Jumaat.

Turut hadir ialah Pengarah TH Pahang Helena Hashim.

Katanya TH akan sedaya upaya menziarah semua waris jemaah haji yang meninggal dunia di tanah suci.

"Program ziarah ini adalah bagi kami menzahirkan rasa simpati kepada waris dan menyampaikan sedikit sumbangan daripada TH untuk meringankan beban waris selain mahu mengadakan tahlil kepada arwah di rumah mereka. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pejabat TH setiap negeri," katanya.

Abdul Shukor menambah sehingga hari ini, TH telah selesai menziarahi 17 waris jemaah dan berhasrat ziarah terhadap 31 waris lagi dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Beliau  juga berkata penerbangan terakhir  jemaah haji Malaysia  pulang ke tanah air dijadualkan pada 5 Oktober depan. -Bernama

jemaah Malaysia, Tanah Suci

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain