suria

Pesta Arak: DAP Tak Hormat Sensitiviti Umat Islam

Che Abdullah Mat Nawi.

KOTA BHARU: DAP jelas tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini apabila terus menyokong pesta arak yang dijadual diadakan di ibu negara bulan depan, kata Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Che Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan berkata penganjuran pesta membabitkan pengambilan alkohol adalah tidak wajar kerana majoriti penduduk di negara ini beragama Islam.

"Bila kita berhujah atas dasar masyarakat majmuk, maknanya setiap rakyat Malaysia ini mesti menghormati agama-agama lain. Islam tak melarang bukan Islam untuk minum arak tapi bila mereka nak buat pesta arak, mereka tak sensitif dengan apa yang dilarang dalam Islam.

"Ini kerana dalam perlembagaan jelas meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan majoriti penduduk di negara ini adalah Muslim," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Pada Selasa, Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim dipetik sebagai berkata Malaysia sebuah negara demokrasi dan semua pihak berhak melakukan apa saja aktiviti selagi tidak menyalahi undang-undang.

Teng turut dilaporkan berkata PAS perlu faham bahawa Malaysia sebuah negara majmuk dan bukan hanya orang PAS sahaja yang tinggal di negara ini.

Berhubung isu itu, Che Abdullah menyelar sikap pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) yang terus mendiamkan diri dalam walaupun mereka sebelum ini melaungkan-laungkan parti itu turut memperjuangkan Islam.

"Tokoh-tokoh 'jihad' dalam Amanah semua diam, bukan sahaja membabitkan isu pesta arak malah dalam semua perkara apabila ia bersangkutan dengan DAP.  Amanah tak boleh berbuat apa-apa kerana takut DAP marah," katanya. - BERNAMA

pesta arak, DAP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain