suria

Pertemuan Mesra Di Rumah Putih

Najib (kiri) beramah mesra bersama Presiden Donald Trump selepas membincangkan hubungan strategik antara kedua-dua negara di Rumah Putih pada Rabu. fotoBERNAMA

WASHINGTON: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perbincangan beliau dengan Presiden Donald Trump di Rumah Putih pada Selasa  sebagai "pertemuan yang positif dan mesra".

Kedua-dua pemimpin dilihat gembira berjabat tangan beberapa kali dan memaut lengan masing-masing semasa berjalan masuk dan keluar bilik mesyuarat West Wing.

"Kali terakhir kami berjumpa beberapa tahun lepas, kami bermain golf satu pasukan. Ia pertemuan yang berjaya bagi kami kerana pasukan kami menang.

"Dan perbincangan kami tadi banyak tertumpu kepada  bagaimana kedua-dua negara boleh terus berjaya dengan bekerjasama erat," katanya pada jamuan malam Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN dan Dewan Perniagaan Amerika di Hotel St Regis di sini.

Najib tiba di Rumah Putih pada pukul 11.45 pagi dan disambut Presiden Trump di pintu masuk West Wing.

Najib dan Trump mengadakan perbincangan dua hala dengan menteri-menteri dan pegawai kanan masing-masing sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata di Pejabat Oval.

Kunjungan Najib ke Rumah Putih atas jemputan Presiden Trump, berlangsung lebih sejam.

Pegawai yang berada di Rumah Putih  berkata Trump mengiringi Najib hingga ke pintu untuk mengucapkan selamat jalan, di luar kelaziman beliau yang hanya menghantar pemimpin berkunjung  ke pejabat beliau, setakat di lantai utama.

"Trump diingatkan oleh seorang daripada pegawainya mengenai perkara itu tetapi beliau memberitahu pegawai itu yang beliau akan mengiringi PM Najib hingga ke tingkat bawah untuk mengucapkan selamat jalan,"Trump berkata beliau (Najib) sahabat saya," menurut pegawai itu.

Pada majlis jamuan itu, perdana menteri berkata tahun  lepas  perdagangan antara Malaysia dan Amerika berjumlah hampir US$33 bilion.

"Kita perlu  mengembalikan tahap interaksi kerana terdapat peluang besar bagi kedua-dua negara untuk  meneroka lebih luas dan meraih manfaat daripada hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih erat,” katanya.

Najib berkata tahun  lepas sahaja, syarikat-syarikat Amerika membawa masuk RM5 bilion, atau lebih daripada US$1 bilion, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Amerika merupakan pelabur asing kelima terbesar di negara ini dengan jumlah saham FDI bernilai RM36 bilion atau US$8.5 bilion.

Hadir sama Presiden dan CEO Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN Alexander Feldman, Naib Presiden Kanan Dewan Perniagaan Amerika sektor Asia, Tami Overby dan Duta Amerika di Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir.- BERNAMA

Najib Tun Razak, Rumah Putih

Artikel Sebelum

Alahai Abang Lori...

Artikel Berikut

Kulit Jagung Ada Gunanya!

Artikel Lain