suria

Rafizi Jawab Tuntutan Adam Rosly

Rafizi Ramli.

SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pada Jumaat melampirkan pendapatan dan perbelanjaan NGO Invoke dan NOW sejak ditubuhkan, sepertimana yang dituntut Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly.

Ujar Rafizi, walaupun beliau tidak perlu melayan karenah Adam, namun sebagai bekas penjawat awam, beliau perlu tangkas memberi jawapan dalam semua isu bersabit ketelusan.

"Oleh yang demikian, saya sertakan penyata pendapatan dan perbelanjaan bagi Invoke dan NOW seperti yang ditunjukkan di Lampiran A dan B," katanya yang melampirkan perkara itu dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Terdahulu, dilaporkan Adam bertegas bahawa beliau sudah hilang sabar dengan perilaku Rafizi.

Adam berkata, beliau dan beberapa pemimpin parti telah lama bersabar dengan Rafizi bagi memelihara perpaduan dan reputasi PKR.

Oleh itu menurut Adam, beliau kini tidak lagi boleh mendiamkan diri berhubung kutipan dana secara besar-besaran daripada orang ramai bagi pihak Rafizi (NGO Invoke dan NOW).

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, Invoke adalah sebuah syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tertakluk kepada Akta Syarikat.

"Tahun kewangan Invoke Solutions Sdn Bhd adalah bagi tempoh berakhir 31 Disember 2017," katanya lagi.

Katanya, laporan kewangan yang telah diaudit perlu difailkan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut undang-undang.

"Penyata kewangan Invoke hanya boleh diaudit selepas 31 Disember 2017 dan selepas itu, orang ramai boleh menyemak kedudukan kewangan Invoke dari semasa ke semasa mengikut carian di SSM," katanya.

Sementara itu, katanya, Now juga adalah sebuah syarikat berdaftar dengan SSM dan tertakluk kepada Akta Syarikat.

"Tahun kewangan Oversight and Whistleblowers Sdn Bhd adalah bagi tempoh berakhir 31 Disember 2017," katanya.

Sementara itu, laporan kewangan bagi tahun kewangan 31 Disember 2015 yang telah diaudit dan difailkan dengan SSM mengikut undang-undang disertakan di dalam Lampiran B.

"Laporan kewangan bagi tahun kewangan 31 Disember 2016 sedang disediakan dan diaudit," katanya. - SINAR HARIAN

Artikel Sebelum

Artikel Lain