suria

Malaysia Ada Kes Penumpang Tak Dibenar Naik Pesawat

PETALING JAYA: Kes penumpang tidak dibenarkan menaiki pesawat atau 'denied boarding' kerana lebihan tempahan penerbangan bukan sahaja berlaku di luar negara, malahan juga di negara ini.

Menurut laporan pengguna pertama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang dikeluarkan baru-baru ini, 69 kes daripada 1,639 aduan pengguna dari Mac 2016 sehingga Februari 2017 adalah kes 'tidak dibenarkan menaiki pesawat' melibatkan pelbagai faktor.

Jurucakap Mavcom berkata, berdasarkan siasatan, hanya sebahagian kecil adalah kes tidak dibenarkan menaiki pesawat disebabkan lebihan tempahan penerbangan.

Malahan, katanya, setakat ini kes tidak dibenarkan menaiki pesawat di negara ini tidak serius, malah tiada tindakan atau paksaan secara fizikal mahupun penumpang dimalukan.

"Sebenarnya kebanyakan aduan kerana dokumen tidak lengkap, kesilapan ejaan nama dan penumpang lewat mendaftar masuk.

"Kebanyakan kes tidak dibenarkan menaiki penerbangan berlaku di kaunter daftar masuk di lapangan terbang. Tiada aduan berlaku selepas pengguna menaiki pesawat," katanya kepada mStar Online.

Mavcom bagaimanapun tidak mendedahkan nama syarikat penerbangan termasuk jumlah kes bagi penumpang yang tidak dibenarkan menaiki pesawat akibat lebihan tempahan penerbangan.

Difahamkan, penumpang tidak dibenarkan menaiki penerbangan mengalami masalah gangguan perjalanan seperti terlepas mesyuarat dan tidak hadir kerja, selain kerugian akibat tempahan penginapan dan kemudahan atau pakej percutian.

Baru-baru ini, industri penerbangan dikejutkan dengan kontroversi syarikat penerbangan United Airlines apabila mengheret penumpang keluar dari pesawat kerana lebihan tempahan penerbangan.

Pada 9 April lalu, penumpang dari Kentucky, Dr David Dao diheret keluar dari pesawat dalam keadaan berdarah selepas enggan memberikan tempat duduknya kepada anggota kru.

Kata jurucakap Mavcom itu, mengikut Seksyen 11 Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016, syarikat penerbangan perlu menghubungi penumpang jika berhasrat untuk tidak membenarkannya menaiki pesawat supaya mereka menawarkan diri melepaskan tempahan secara sukarela.

"Jika bilangan penumpang sukarela tidak mencukupi, syarikat penerbangan dibenarkan untuk tidak membenarkan mana-mana penumpang menaiki pesawat dan hendaklah serta-merta menawarkan pampasan dan penjagaan kepada mereka," katanya sambil menambah penumpang terbabit juga diberi pilihan untuk disusun semula jadual penerbangan mereka ke destinasi terakhir tanpa bayaran tambahan.

Bagaimanapun jurucakap Mavcom itu memberitahu, syarikat penerbangan tidak akan bertanggungjawab terhadap kes yang disebabkan masalah di pihak penumpang.

Mavcom menggesa pengguna atau pengembara supaya mengetahui hak mereka apabila berhadapan dengan situasi tidak dibenarkan menaiki pesawat disebabkan syarikat penerbangan tanpa mengira sama ada penumpang berkenaan sukarela atau tidak.

Jurucakap suruhanjaya itu turut menasihatkan pengguna supaya membeli insurans pengembaraan bagi memudahkan tuntutan dan perlindungan terhadap sebarang kerugian sampingan.

"Pengguna boleh membuat laporan kepada Mavcom sekiranya mereka tidak mendapat pampasan yang sewajarnya atau mempunyai aduan yang munasabah terhadap syarikat penerbangan berhubung tidak dibenarkan menaiki pesawat," katanya.

Mavcom

Artikel Lain