suria

Kes Jong-nam: Polis Rampas Bahan Kimia Hasil Maklumat Lelaki Tempatan

KUALA LUMPUR: Siasatan ke atas pembunuhan Kim Jong-nam membawa polis ke sebuah kondominium yang terletak di Jalan Klang Lama di mana pelbagai bahan kimia dirampas.

Sumber berkata, anggota polis telah dibawa ke kondominium itu pada Rabu oleh seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 30an di mana pasukan forensik memeriksa bahan kimia.

Selain daripada pelbagai bahan kimia, dipercayai bahawa beberapa sarung tangan dan kasut turut dirampas daripada unit itu.

Walaupun peranannya dalam pembunuhan Jong-nam masih tidak jelas, difahamkan bahawa lelaki itu mungkin mempunyai hubungan dengan suspek yang ditahan.

Adalah dipercayai bahawa polis berjaya menjejaki lelaki itu selepas salah seorang suspek yang ditahan mendedahkan namanya.

"Polis tidak menolak kemungkinan bahawa lelaki Malaysia itu mungkin mempunyai kepakaran dalam bidang kimia," kata sumber berkenaan.

Difahamkan bahawa lelaki Malaysia itu sebelum ini ditahan polis di kondominium berdekatan sebelum dia membawa mereka ke kondominium di mana rampasan dibuat.

Sebuah jentera bomba, dua kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan sebuah kereta forensik polis dilihat di kondominium itu.

Pada kira-kira pukul 1.10 tengah hari semalam, kira-kira 10 anggota bomba dilihat keluar daripada bangunan itu dengan membawa pakaian hazmat dan tangki oksigen.

Kim Jong-nam

Artikel Lain