suria

Remaja Berbasikal Maut: Pemandu Wanita Bukan Anak Kenamaan

Kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah Johor. Foto: China Press.

JOHOR BAHRU: Polis menafikan pemandu wanita yang merempuh lapan remaja lelaki berbasikal sehingga maut dalam kejadian di sini Sabtu lepas, adalah anak orang kenamaan. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh, ketika mengesahkan perkara itu, berkata spekulasi yang mengaitkan pembebasan wanita berusia 22 tahun itu kerana status keluarganya daripada golongan kenamaan, adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.

"Beri masa kepada polis untuk lakukan siasatan, jangan terburu-buru membuat andaian," kata beliau ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan dan gambar yang tular di media sosial yang mendakwa pembebasan wanita itu dengan jaminan polis kerana berkait dengan keluarganya yang merupakan golongan kenamaan, sehingga memaksa polis membebaskannya daripada tahanan.

Dalam kejadian awal pagi 18 Februari lepas, lapan remaja lelaki yangberbasikal maut selepas dirempuh pemandu wanita tersebut di Jalan Lingkaran Dalam, dekat sini.

Kejadian itu turut mengakibatkan empat lagi remaja lelaki patah kaki, dua tidak stabil berikutan pendarahan di dalam otak, seorang  luka di kepala dan seorang lagi cedera di pinggul.

Wanita itu pula ditahan untuk membantu siasatan dan kemudianya dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokan harinya (19 Feb) selepas selesai keterangannya direkod. -Bernama

Remaja berbasikal, rempuh, maut

Artikel Lain