suria

Kes Jong-nam: HKL Sedia Khemah Untuk Petugas Media

KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur  menyediakankhemah dan kerusi kepada petugas media yang 'berkampung' di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur yang membuat liputan kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Menurut jurucakap HKL, kemudahan itu merupakan arahan daripada Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain yang prihatin terhadap petugas media yang berpanas dan berhujan sejak 15 Februari lepas di IPFN itu.

"Sebanyak 20 kerusi, dua khemah serta sebuah meja ditempatkan di hadapan IPFN untuk petugas media," kata jurucakap itu.

Jurugambar akhbar tempatan Mohd Firdaus Abdul Latif, 26, mengucapkan terima kasih kepada HKL yang prihatin kepada petugas media, terutamanya jurugambar yang bertugas di hadapan IPFN itu.

"Kami (petugas media) telah berkampung di sini sejak 15 Februari lepas, kami mengalami kesukaran untuk merakam gambar dan video sekiranya hujan lebat selain bimbang kamera dan laptop mengalami kerosakan," katanya.

Kes pembunuhan Jong-nam mendapat liputan meluas media tempatan dan luar negara dengan lebih 50 petugas media tempatan dan asing berkampung di hadapan IPFN sejak 15 Feb lepas.

Pada 13 Februari lepas, Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya, sebelum mayatnya dibawa ke IPFN. -Bernama

Khemah, HKL

Artikel Sebelum

Artikel Lain